Isu Undang-Undang Perlembagaan- Tinjauan Kes
BIDANG KUASA EKSKLUSIF
MAHKAMAH SYARIAH DAN ISU-ISU PENDAKWAAN DAN PENGUATKUASAAN KESALAHAN JENAYAH
SYARIAH : SATU TINJAUAN TERHADAP KES BERJAYA BOOKS SDN BHD SDN BHD &
LAIN-LAIN LWN JABATAN AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN & LAIN-LAIN
Mahfudz Bin Hasbullah
LL.B (Hons) IIUM
Abstrak
Kedudukan Mahkamah Syariah sebagai sebuah mahkamah yang bebas
dan mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk membicarakan kes-kes yang melibatkan
undang-undang Islam telah diperuntukkan melalui pindaan Perkara 121 (1A)
Perlembagaan Persekutuan. Rentetan daripada pindaan tersebut, Mahkamah Syariah
telah melalui fasa perkembangan yang berliku berdasarkan interpretasi keputusan-keputusan
mahkamah terhadap bidang kuasa eksklusifnya. Artikel ini cuba untuk melihat
dari sudut aspirasi dan hasrat disebalik penggubalan Perkara 121 (1A) ini dan
menilai sejauh mana dari segi realitinya kedudukan Mahkamah Syariah dan sejauh
mana pengiktirafan terhadap bidang kuasanya bila mana had kuasa penggubalan
undang-undang Negeri dan Persekutuan menjadi
persoalan interpretasi oleh mahkamah mengenai kuasa yang termaktub
sebagaimana Senarai II Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan. Isu-isu yang
menampakkan pertembungan atau konflik antara pihak berkuasa Negeri dan
Persekutuan dan antara perkara mengenai agama Islam dan orang bukan Islam dalam
menentukan bidang kuasa yang sah samada oleh Mahkamah Syariah atau Mahkamah
Sivil cuba dikupas secara umum dengan melihat justifikasi keputusan mahkamah
berdasarkan pendekatan interpretasi yang berbeza. Penentuan bidang kuasa
Mahkamah Syariah juga adalah penting kerana ianya melibatkan isu-isu pendakwaan
dan penguatkuasaan kesalahan jenayah syariah dan sorotan kepada kes-kes yang
relevan cuba di analisa untuk memberikan gambaran yang lebih fokus dari sudut
Perlembagaan Persekutuan.
Pengenalan
Isu pertindihan bidang kuasa diantara Mahkamah Syariah dan
Mahkamah Sivil masih lagi menjadi satu isu pertikaian yang sering dibangkitkan
untuk diputuskan dimahkamah bila mana terdapat pertembungan atau konflik
diantara bidang kuasa Negeri and Persekutuan dalam menentukan had bidang kuasa
yang termaktub didalam Perlembagaan Persekutuan.
Kes Berjaya Book Sdn
Bhd Ors Lwn Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan & Ors [1]sekali
lagi memperlihatkan persoalan mengenai bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah
dipertikaikan apabila tindakan Responden yang membuat serbuan, rampasan dan
mendakwa Pemohon dibawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah
Persekutuan) 1997 (“Akta 559”) kerana menyalahi seksyen tersebut iaitu kesalahan
mengenai penerbitan, pengedaran dan percetakan sebuah buku yang ditulis oleh
Irsyad Manji bertajuk Allah, Kebebasan dan Cinta yang dikatakan menyalahi hukum
syarak. Pemohon telah membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi untuk membuat
permohonan Semakan Kehakiman terhadap tindakan Responden tersebut. Mahkamah
dalam kes ini memutuskan bahawa kesalahan dibawah Seksyen 13 Akta 559 adalah
bukan dibawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah kerana kesalahan yang
sama juga terkandung didalam Seksyen 7 Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan 1984 (“Akta
301”). Mahkamah Tinggi juga bersetuju bahawa kesalahan yang dinyatakan adalah
kesalahan terhadap ajaran agama Islam yang disifatkan sebagai kesalahan
terhadap doktrin keagamaan “religious
doctrine” dan bukanlah kesalahan jenayah per se. Oleh yang demikian, Mahkamah berpandangan bahawa Mahkamah
Sivil mempunyai kuasa pemantauan atau “Supervisory
Power” terhadap keputusan dan tindakan yang diambil oleh pihak Responden.
Mahkamah Tinggi mengesahkan bahawa persoalan samada berlakunya pelanggaran
terhadap batasan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam isu ini tidak timbul
kerana Akta 559 hanya terpakai kepada Wilayah Persekutuan dan hanya terpakai
kepada orang-orang yang menganut agama Islam sahaja manakala Akta 301 bersifat
lebih umum dari segi keterpakaiannya diseluruh Malaysia tanpa ada had batasan
kaum, jantina atau agama.
Kajian Literatur
Isu mengenai pertindihan bidang kuasa antara Mahkamah Syariah
dan Mahkamah Sivil telah disentuh secara mendalam oleh Mohammed Imam dalam
artikelnya[2] yang
telah merumuskan bahawa maksud “bidang kuasa terhadap pewujudan dan penghukuman
kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam” sebagaimana yang
termaktub didalam Perlembagaan Persekutuan itu tidak bermaksud bahawa semua
pihak yang terlibat didalam sesuatu prosiding mahkamah itu semestinya beragama
Islam atau bermaksud setiap tuntutan itu mestilah dibawa oleh seorang yang
beragama Islam terhadap seorang Islam yang lain bagi membolehkan Mahkamah
Syariah menentukan bidang kuasanya. Melihat kepada objektif disebalik penubuhan
Mahkamah Syariah, peruntukan ini boleh difahami sebagai merujuk kepada hak-hak
orang Islam dibawah Hukum Syarak dan juga sebarang tuntutan tanpa mengira
status keagamaan pihak penuntut atau pihak penentang dalam sesuatu kes yang
mana Mahkamah Syariah boleh membuat keputusan, dikri atau perintah yang boleh
dikuatkuasakan. Secara jelasnya, bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah berkait
rapat dengan isu yang dipertikaikan atau “subject
matter” dan bukan terhadap status keagamaan pihak yang terlibat. Mohammed
Imam juga merumuskan bahawa penyelesaian yang amat sesuai terhadap konflik bidang
kuasa ini adalah dengan memansuhkan dua sistem kehakiman yang terpisah antara
Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil dan mewujudkan satu integrasi yang
menyeluruh terhadap kedua-dua mahkamah ini dengan pengenalan divisi yang khusus
bagi hakim syarie dan hakim sivil beragama Islam untuk membuat keputusan
terhadap rayuan daripada mahkamah rendah terhadap isu syariah dan isu
pertindihan antara syariah dan sivil. Pindaan perlembagaan adalah jalan atau
cara kepada perlaksanaan cadangan ini.
Tun Abdul Hamid dalam artikelnya [3]mengenai
konflik pertindihan bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil
telah membahagikan konflik kepada kes jenayah dan kes sivil. Dalam kes jenayah,
pembahagian bidang kuasa jelas terbahagi berdasarkan interpretasi senarai 1 dan
senarai 2 Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan. Tun Abdul Hamid telah merujuk
kepada keputusan mahkamah dalam kes Sukma
Dermawan sebagai panduan terhadap isu penentuan bidang kuasa mahkamah
syariah. Manakala dalam kes-kes sivil , masalah adalah lebih kompleks dimana
wujud situasi perkara yang dipertikaikan atau “subject matter” yang berada dibawah bidang kuasa Mahkamah Syariah
tetapi kemungkinan melibatkan pihak yang bukan Beragama Islam yang tidak
tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah. Tun Abdul Hamid menyarankan
sebagaimana beliau putuskan dalam kes Lim
Chan Seng dan Abdul Shaikh Bin
Ibrahim bahawa kes-kes sedemikian perlu diputuskan oleh hakim syarie yang
bersidang di Mahkamah Sivil (civil court
sitting with a syariah court judge). Hakim syarie tersebut akan membuat
keputusan mengenai undang-undang Islam yang akan mengikat hakim Mahkamah Sivil,
manakala hakim Mahkamah Sivil akan membuat keputusan mengenai isu lain yang
tidak melibatkan persoalan undang-undang syariah.
Dr Shad Saleem Faruqi pula menyatakan pandangan beliau dalam
artikelnya [4]bahawa
bidang kuasa penggubalan undang-undang antara negeri dan persekutuan
menampakkan bahawa negeri telah melangkaui skop kuasa yang telah diperuntukkan
oleh Perlembagaan dimana penggubal negeri telah bertindak seolah-olah
keseluruhan undang-undang Islam dan jenayah Islam adalah dibawah bidang kuasa
mereka. Ini menjadikan kuasa secara “residual”oleh
negeri telah bertukar menjadi kuasa secara “inherent”
dan “unlimited powers”. Dr Shad
Saleem melihat bahawa ketiadaan kemahuan politik (political will) untuk mempertahankan semangat toleransi dan
moderasi yang diinspirasikan semasa penggubalan Perlembagaan telah semakin
terhakis dan menuju kearah jalan yang tiada penyelesaian. Dr Nuarrual Hilal Md
Dahlan & Abdul Rani Kamaruddin pula dalam artikelnya [5]telah
merumuskan tentang pertindihan bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dan
Mahkamah Sivil bahawa pendekatan yang terbaik adalah berdasarkan keputusan
Mahkamah Agung dalam kes Shaikh
Zolkaffily Bin Shaikh Natar & Ors Lwn Majlis Agama Islam Pulau Pinang yang
memberikan panduan untuk menentukan bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah
berdasarkan “best possible interpretation”
walaupun isu yang dipertikaikan atau “subject matter” tidak diperuntukkan
secara spesifik didalam enakmen negeri. Oleh yang demikian Dr Nuarrual Hilal
menyatakan bahawa pendekatan secara
“subject matter” adalah yang terbaik kerana senarai 2 jadual 9
kesemuanya berada dibawah bidang kuasa Mahkamah Syariah secara “inherent”.
Dr Farid Sufian Shuib telah membuat konklusi yang jelas dalam
artikelnya[6]mengenai
bidang kuasa Mahkamah Syariah dimana majoriti kes yang menjadi pertikaian
adalah melibatkan pihak yang beragama Islam dan bukan Islam. Pindaan perkara
121 (1A) jelas memperuntukkan bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah untuk
mendengar kes-kes sebegini. Apa yang perlu diperkukuhkan adalah dengan usaha
memperkasakan struktur pentadbiran, infrastruktur dan prosedur Mahkamah
Syariah. Didalam satu artikelnya yang lain[7]Dr Farid
secara konsisten menyatakan pandangan mengenai cadangan untuk memperkasakan
keseluruhan institusi pentadbiran undang-undang Islam diMalaysia termasuk
Majlis Agama dan institusi pendakwaan syariah bagi mewujudkan jawatan pendakwa
syariah yang bebas dan berintegriti. Melihat kepada perkembangan pentadbiran
Mahkamah Syariah sejak tahun 1957 sehingga 2009, Dr Ramizah dalam artikelnya[8]
menyatakan bahawa pembaharuan yang berlaku dalam pentadbiran Mahkamah Syariah
selepas tahun 1998 menampakkan usaha untuk menyeragamkan prosedur dan
pentadbiran Mahkamah Syariah melalui penubuhan Jabatan Kehakiman Syariah
Malaysia (JKSM) yang berfungsi sebagai sebuah jabatan diperingkat pusat untuk
menyatu dan menyelaras pentadbiran Mahkamah Syariah diperingkat negeri.
Penambahbaikan ini dilihat berjaya dilakukan tanpa memerlukan pindaan
Perlembagaan. Dalam skop memperkasakan institusi-institusi yang terlibat dalam
pentadbiran Mahkamah Syariah, Dr Farid dalam artikel beliau yang mutakhir [9]menyatakan
bahawa isu bidang kuasa Mahkamah Syariah dan isu penguatkuasaan undang-undang
negeri adalah merupakan dua perkara yang berbeza. Dr Farid merujuk kepada
keputusan hakim dalam kes Border’s Book
mengenai isu penguatkuasaan undang-undang syariah terhadap bukan Islam. Beliau
menyatakan bahawa ketiadaan bidang kuasa mahkamah yang ditubuhkan atau ditadbir
dibawah kuasa negeri terhadap seseorang tidak bermakna pasukan penguatkuasa
yang ditubuhkan dibawah senarai negeri turut tidak mempunyai kuasa. Dr Farid
secara konsisten menyatakan Perlembagaan Persekutuan telah memberikan kerangka
pentadbiran keadilan jenayah syariah untuk dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah
dan tiada kesangsian mengenai keperlembagaan sistem pentadbiran keadilan
syariah dan kuasa Mahkamah Syariah.
Siti Zubaidah dalam artikelnya[10]bersetuju
mengenai isu perlunya bahagian pendakwaan dan penguatkuasaan untuk
mempertingkatkan kemahiran undang-undang tiga serangkai iaitu undang-undang
tatacara, kesalahan jenayah dan keterangan. Penambahbaikan dengan mewujudkan
“Standard Operating Procedure” (SOP) sebagai panduan setiap pegawai
penguatkuasa dan pendakwa akan membantu untuk menaikkan imej pentadbiran
undang-undang Islam dan Mahkamah Syariah. Ibrahim Deris & Hanifah Haydar
Ali Tajuddin dalam artikelnya [11]juga
merumuskan berdasarkan pengamatan dan pengalaman beliau sebagai Pendakwa Syarie
bersetuju bahawa banyak jurang dari segi kemahiran pegawai pendakwa dan
penguatkuasa syariah yang perlu diperkemaskan dengan latihan dan kursus yang
berterusan. Ibrahim Deris menyatakan bahawa tidak dapat dinafikan bahawa
perubahan yang positif hanya boleh berlaku apabila kefahaman yang jelas dalam
bidang tugas dan kesediaan pelaksana undang-undang jenayah syariah untuk
menerima dan membudayakan gerak kerja positif demi memperkasakan institusi
kehakiman syariah.
Undang-Undang Islam:
Had kuasa penggubalan undang-undang antara Negeri dan Persekutuan
Didalam kes Berjaya
Books Sdn Bhd , antara hujahan yang dikemukakan oleh pihak Responden
mengenai bidang kuasa Mahkamah Syariah ialah Seksyen 13 Akta 559 adalah
kesalahan mengenai penerbitan dan pengedaran buku yang bertentangan dengan
ajaran Islam yang jelas berada dibawah bidang kuasa Negeri yang boleh menggubal
undang-undang kesalahan terhadap ajaran agama Islam sebagaimana yang
diperuntukkan dibawah Butiran 1, Senarai II Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan.
Oleh yang demikian secara eksklusifnya ia adalah tertakluk dibawah bidang kuasa
Mahkamah Syariah. Responden berhujah bahawa tindakan yang diambil dan mendakwa
Pemohon adalah tindakan dibawah undang-undang jenayah syariah dan bukan
undang-undang sivil. Oleh yang demikian, Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang
kuasa untuk mendengar permohonan Semakan Kehakiman oleh Pemohon.
Jika ditelusuri had bidang kuasa Negeri untuk menggubal
undang-undang negeri sebagaimana yang
diperuntukkan didalam Perlembagaan Persekutuan , kuasa negeri dinyatakan
dibawah Butiran 1, Senarai II Jadual 9 iaitu :-
“….perwujudan dan
penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam
terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk
dalam Senarai Persekutuan.”
Jelas berdasarkan Perlembagaan Persekutuan bidang kuasa
negeri untuk menggubal undang-undang terhadap kesalahan yang dilakukan oleh
penganut agama Islam terhadap perintah agama itu adalah tertakluk kepada
senarai selain perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan. Tun
Abdul Hamid[12]
menyatakan bahawa kata-kata “undang jenayah Islam” tidak langsung digunakan
didalam Butiran 1 Senarai II Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan. Apa yang
dinyatakan adalah pecahan tiga syarat tersebut
(i) Kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam; (ii) Terhadap
perintah agama itu; (ii) Kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam
Senarai Persekutuan.
Jika diteliti syarat-syarat tersebut, ianya secara spesifik
menyatakan bahawa kesalahan terhadap perintah agama Islam itu skopnya adalah
terbatas kepada doktrin keagamaan sahaja.
Walaupun menurut Dr Shad Faruqi [13]“Perintah
agama itu” membawa maksud sebagai “ beliefs,
tenets, dogmas, principles, articles of faith, canons, maxims, rules,
doctrines, and teachings of Islam” yang mana skop definisinya lebih luas
namun dari segi interpertasinya Tun Abdul Hamid melihat “Perintah agama” itu
lebih tertumpu kepada doktrin keagaamaan dan ritual sahaja. Walau bagaimanapun
sebenarnya agak sukar untuk menyempitkan skop mengenai doktrin keagamaan ini
jika dilihat dalam konteks sebenar Islam sebagai satu agama samawi yang syumul.
Wujudnya pengkelasan sempit doktrin keagamaan ini banyak berkait rapat dengan
latar belakang keadaan di semenanjung Tanah Melayu semasa penggubalan
Perlembagaan Persekutuan setelah berlakunya penjajahan British. Sebagaimana
yang dinyatakan oleh Salleh Abas LP dalam Kes Che Omar Bin Che Soh Lwn PP [14] bahawa
selepas kedatangan British dan melalui beberapa siri perjanjian bermula dengan
Perjanjian Pangkor atas nasihat British, perkara hal ehwal agama Islam telah
terbahagi dua dari aspek awam dan aspek peribadi. Perkembangan agama Islam dari
aspek awam telah menjadikan agama Islam hanyalah sebahagian perkara sampingan terhadap
kuasa dan kedaulatan sultan.
Salleh Abas LP didalam penghakiman kes ini juga membuat
rujukan tulisan M.B Hooker, Islamic Law in South East Asia, 1984 [15] bahawa
dengan pembentukan persekutuan negeri-negeri melayu pada tahun 1895 telah
membawa kepada kelemahan kuasa-kuasa sultan terutama dalam aspek perkara awam,
Islam telah menjadi sekadar simbol kuasa kedaulatan sahaja. Perkara ini makin
terserlah apabila hanya perkara-perkara mengenai undang-undang keluarga dan
harta pusaka yang dianggap hal peribadi kepada penganut agama Islam dan
undang-undang tersebut hanya terpakai kepada orang Islam sahaja. Akhirnya
undang-undang Islam menjadi terpinggir apabila British mula menerapkan elemen
undang-undang British dan pentadbiran sekular dalam pentadbiran Persekutuan
Negeri-Negeri Melayu pada ketika itu.
Berdasarkan latar belakang tersebut jugalah Tun Abdul Hamid
menyatakan bahawa hal-hal agama yang terletak dibawah bidang kuasa negeri
adalah terhad kepada undang-undang keluarga. Di kebanyakan negeri pada ketika
itu Mahkamah Syariah masih belum diwujudkan dan hampir kesemua masyarakat di
pedalaman adalah golongan melayu beragama Islam. Tiada perpindahan penduduk ke
merata-rata tempat dan hampir tiada isu perkahwinan campur yang membawa kepada
isu-isu kompleks seperti pertukaran agama seperti sekarang. Dalam keadaan senario
sebegitulah perlembagaan dan peruntukan mengenai undang-undang jenayah dan
kesalahan terhadap suruhan agama Islam digubal. Namun persoalan mengenai maksud
“perintah Islam” ini sebenarnya telah pun dibangkitkan dalam kes Sulaiman Takrib Lwn Kerajaan Negeri
Terengganu[16]
dimana Tan Sri Sheikh Ghazali B. Abdul Rahman dan Prof. Dr Kamal Hassan
memberikan definisi yang lebih luas terhadap makna “perintah agama Islam”.
Menurut dua pakar tersebut ianya merujuk ajaran atau perintah agama seperti
yang termaktub didalam Al-Quran dan As-Sunnah yang merangkumi aqidah, syariah
dan akhlaq. Definisi ini telah memberikan skop definisi yang lebih luas
berbanding dengan pandangan Dr Razali Nawawi dalam kes Nordin Bin Salleh Lwn Kerajaan Negeri Kelantan & Anor [17]yang
memberikan pandangan bahawa “perintah agama Islam” itu hanya merangkumi lima
rukun Islam iaitu mengucap dua kalimah syahadah, menunaikan solat fardu lima
waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, membayar zakat dan mengerjakan haji.
Timbul persoalan disini samada penyempitan tafsiran
undang-undang Islam yang terhad kepada undang-undang keluarga, nikah kahwin dan
harta pusaka sahaja sebenarnya adalah kesan nyata daripada penjajahan British
yang telah membuat satu perubahan perundangan secara tidak langsung dengan
memperkenalkan undang-undang British bagi memperkukuhkan pentadbiran kolonial
pada era penjajahan tersebut. Catatan sejarah menunjukkan bahawa Islam telah
tersebar ke Tanah Melayu seawal kurun ke 10, bahkan undang-undang Islam telah
dipraktikkan oleh kerajaan kesultanan Melaka pada kurun ke 15 dan bukti batu
bersurat Terengganu bertarikh pada tahun 1303 menunjukkan pengkanunan hukuman
dibawah undang-undang Islam seperti kesalahan zina dan tuduhan palsu telah pun direkodkan.
Walaupun Dr Shad Saleem Faruqi memberikan pandangan berbeza bahawa berdasarkan
cadangan Kertas Putih mengenai cadangan penggubalan perlembagaan 1957, bahawa
pengisytiharan Islam sebagai agama rasmi
sebenarnya tidak mengubah apa-apa kedudukan Persekutuan sebagai “secular state” yang disifatkan telah pun
wujud pada ketika itu. Pandangan ini mengaitkan pengaruh agama Hindu dan Buddha
yang juga telah wujud sejak kurun ke 13 di Tanah Melayu yang banyak
mempengaruhi sosio budaya, tradisi dan agama yang dianuti pada masa itu.
Dr. Shamrahayu [18]namun
merumuskan bahawa berdasarkan bukti-bukti sejarah, undang-undang Islam atau
undang-undang jenayah Islam secara spesifiknya telah diamalkan secara meluas
sebelum kedatangan British lagi. Bukti sejarah juga menunjukkan bahawa Islam
dan perundangan Islam secara eksklusifnya terletak dibawah kuasa mutlak
pemerintah iaitu Sultan. Oleh yang demikian, pandangan yang menyatakan bahawa
penggubalan undang-undang negeri terhadap kesalahan terhadap agama Islam berkait
rapat dengan keadaan semasa pada waktu itu sebenarnya bukanlah disebabkan
fahaman agama Islam yang hanya berkisar kepada hal-hal kekeluargaan , nikah
kahwin dan harta pusaka sahaja tetapi ianya adalah kesan secara halus penjajah
British untuk menyempitkan keterpakaian undang-undang Islam dengan menjamin hak
dan kuasa Sultan diperingkat negeri untuk menjadi ketua agama dalam hal ehwal
tersebut. Hakikatnya pentadbiran undang-undang British diterapkan secara
holistik dalam pentadbiran negeri-negeri bersekutu dan akhirnya menjadi asas
kepada penggubalan Perlembagaan Persekutuan. Kesannya dapat dilihat akhirnya
undang-undang Islam menjadi terpinggir dan eksklusif dalam hal-hal ritual dan
kekeluargaan sahaja.
Berbalik kepada isu had bidang kuasa penggubalan undang-undang
Islam antara Negeri dan Persekutuan, Dr Shad Saleem Faruqi berpandangan bahawa bidang
kuasa Negeri terhadap agama Islam bukanlah kuasa secara eksklusif dan
komprehensif. Senarai II mengesahkan bahawa terdapat perkara mengenai
undang-undang Islam yang tertakluk dibawah bidang kuasa Persekutuan seperti
Senarai 1 Perkara 4 dan Senarai 1 perkata 4(l). Perkara ini menunjukkan bahawa bidang
kuasa Negeri terhadap kesalahan undang-undang Islam adalah dibawah kuasa Persekutuan
dan ianya adalah “residual” dan bukan
secara “inherent”. Namun, Dr Farid Sufian
[19]berpendapat
satu pentafsiran berbeza perlu dibuat mengenai pengecualian ruang lingkup
perkara yang boleh diwujudkan kesalahan jenayah syariah melalui frasa “kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk
dalam Senarai Persekutuan”. Jika pentafsiran secara literal diambil iaitu
penggubal undang-undang negeri hanya mempunyai kompetensi untuk menggubal
perkara yang tidak termasuk dalam Senarai Persekutuan dan merujuk kepada
Butiran 4 Senarai Persekutuan [20]yang
menyatakan tentang undang-undang jenayah, maka bermakna hampir tiada langsung
kesalahan yang boleh digubal oleh Negeri kerana secara harfiahnya apa-apa
sahaja yang dijadikan kesalahan dan diberikan hukuman merupakan jenayah yang
tertakluk dibawah bidang kuasa Persekutuan.
Rasionalnya menurut Dr Farid Sufian, jika pentafsiran secara
harmonis diambil dengan mengesahkan secara jelas bidang kuasa Negeri dan
Persekutuan ianya dapat mengelak pelanggaran sempadan bidang kuasa antara
Negeri dan Persekutuan dalam penggubalan undang-undang dengan pendekatan
berikut; Negeri harus ditafsirkan mempunyai kuasa untuk menggubal kesalahan
syariah dan Persekutuan kekal mempunyai kuasa menggubal kesalahan umum.
Walaupun pendekatan tafsiran tersebut seharusnya memberikan satu garis
pembahagian kuasa yang jelas antara Negeri dan Persekutuan, namun masih wujud
pertindihan kesalahan jenayah syariah yang diperuntukkan dalam kuasa Negeri dan
Persekutuan. Tun Abdul Hamid menyatakan contoh didalam enakmen Kesalahan
Jenayah Syariah Negeri sekurang-kurangnya terdapat dua kesalahan yang boleh
dipersoalkan keesahannya iaitu kesalahan judi [21]dan
kesalahan liwat. Kedua-dua kesalahan tersebut sudah ada didalam undang-undang
Persekutuan[22].
Sesuatu kesalahan itu hanya boleh wujud dalam undang-undang Persekutuan sebagai
undang-undang jenayah ataupun dalam undang-undang negeri sebagai undang-undang
yang dibuat dibawah Senarai II Jadual 9. Ia tidak boleh wujud didalam kedua-dua
undang-undang Negeri dan undang-undang Persekutuan. Jika ianya wujud, salah
satunya adalah tidak sah dan terbatal kerana bercanggah dengan Perlembagaan.
Isu kewujudan kesalahan yang sama didalam undang-undang
Negeri dan Persekutuan juga dibangkitkan didalam kes Berjaya Books Sdn Bhd. Pihak Pemohon telah berhujah bahawa perkara
mengenai penerbitan dan percetakan adalah dibawah bidang kuasa penggubalan
Persekutuan sebagaimana yang termaktub didalam Perkara 21 Senarai I Jadual 9 [23]dibaca
bersama dengan Perkara 74[24]. Dengan
itu, keesahan Seksyen 13 Akta 559 yang memperuntukkan kesalahan yang sama
mengenai kesalahan penerbitan dan percetakan yang bertentangan dengan hukum
syarak adalah “Ultra Vires” kepada
Akta 301 dan Perlembagaan Persekutuan. Hakim Dato’ Zaleha bersetuju dengan
hujah ini. Mahkamah juga memutuskan bahawa kesalahan yang dinyatakan didalam
Seksyen 13 Akta 559 tersebut adalah kesalahan terhadap perintah agama Islam
yang merupakan kesalahan terhadap doktrin keagamaan dan bukan satu kesalahan
jenayah sebagaimana peruntukan Akta 301. Persoalan yang ingin dibangkitkan
disini adakah kesalahan terhadap perintah agama Islam juga boleh menjadi satu
kesalahan jenayah syariah pada masa yang sama? Dan apabila ianya adalah satu
kesalahan jenayah syariah, maka bukankah sepatutnya Mahkamah Syariah mempunyai bidang
kuasa untuk mendengar kes ini? Walaubagaimanapun Mahkamah Tinggi membuat
keputusan dengan melihat isu pertindihan kesalahan yang sama mengenai
penerbitan dan percetakan yang termaktub dibawah kuasa Persekutuan dibawah
Senarai I Jadual 9 menjadi satu alasan kukuh untuk diputuskan oleh mahkamah
dari sudut perlembagaan. Jika sekalipun kesalahan Seksyen 13 Akta 559 itu
dikategorikan sebagai satu kesalahan jenayah syariah yang digubal selaras
dengan bidang kuasa Negeri sebagaimana yang dihujahkan oleh pihak Responden,
ianya masih dan tetap melanggar pengecualian ruang lingkup “kecuali berkenaan dengan perkara yang
termasuk dalam Senarai Persekutuan” dalam konteks kes ini, Seksyen 13 Akta
559 telah melanggar batasan bidang kuasa Persekutuan dibawah Perkara 21 Senarai
I Jadual 9.
Pembahagian had kuasa penggubalan undang-undang Negeri dan
Persekutuan ini telah diputuskan sebelum ini dalam kes Mamat Bin Daud. Lwn Kerajaan Malaysia.[25] Didalam
kes ini kesahihan Seksyen 298A[26] Kanun
Keseksaan telah dicabar kerana ianya digubal oleh Parlimen terhadap perkara
yang termaktub dibawah bidang kuasa Negeri iaitu Perkara 11 (4)[27] dan
Butiran 1, Senarai II Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan. Didalam kes ini pihak
Pempetisyen telah didakwa dibawah Seksyen 289A kerana melakukan perbuatan yang
boleh memprejudiskan keharmonian orang-orang yang beragama Islam iaitu
bertindak menjadi Imam, Bilal dan Khatib pada upacara sembahyang Jumaat tanpa
perlantikan sah dibawah Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Terengganu
1955. Mahkamah Agung memutuskan bahawa parlimen telah bertindak secara “Ultra Vires” dalam menggubal Seksyen 298A
Kanun Keseksaan tersebut.
Penentuan bidang kuasa Mahkamah Sivil untuk mendengar
permohonan Semakan Kehakiman dalam kes Berjaya
Books Sdn Bhd adalah secara jelas berdasarkan perlanggaran bidang kuasa
Negeri yang telah menggubal satu undang-undang mengenai perkara yang berada
dibawah kuasa Persekuatuan sebagaimana yang termaktub dibawah perkara 21,
Senarai 1 Jadual 9 dan dimana satu undang-undang yang berkaitan telahpun
digubal mengenai perkara tersebut iaitu Akta 301. Mahkamah juga dalam kes ini
memutuskan bahawa kesahihan Seksyen 13 Akta 559 adalah menjadi satu persoalan
kerana dari sudut perlembagaan ianya menjadi “Ultra Vires” kepada Akta 301 dan Perlembagaan Persekutuan.
Had Bidang kuasa Mahkamah
Syariah Selepas Pindaan Perkara 121 (1A).
Pindaan kepada Perkara 121 Pelembagaan Persekutuan pada tahun
1988 dengan menambah Perkara 121 (1A) [28]seperti berikut:-
(1A) Mahkamah-mahkamah
yang disebut dalam Fasal (1) tidaklah mempunyai bidang kuasa berkenaan apa-apa
perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah.
Prof Ahmad Ibrahim[29] menyatakan
bahawa satu kesan yang sangat penting daripada pindaan perlembagaan tersebut
adalah untuk mengelakkan berlaku konflik diantara keputusan Mahkamah Syariah
dan Mahkamah Sivil sepertimana yang berlaku didalam beberapa kes iaitu Myriam Lwn Ariff [30]dimana
Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa ia mempunyai bidang kuasa untuk membuat
keputusan mengenai hak penjagaan anak walaupun kes tersebut telah diputuskan
oleh Kadhi Besar di Mahkamah Syariah.
Begitu juga sebagaimana yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes Commissioner For Religious Affair & Ors
vs Tengku Mariam [31]dimana
Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan mengenai kesahihan wakaf yang dibuat
walaupun ianya telah diputuskan oleh Mufti sebelum itu bahawa ianya adalah
wakaf yang sah. Pindaan Perkara 121 (1A) ini juga bertujuan untuk mengangkat
status Mahkamah Syariah supaya ianya tidak lagi dianggap sebagai mahkamah
bawahan berbanding Mahkamah Sivil. Perubahan struktur hierarki Mahkamah Syariah
kepada tiga peringkat ; Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan
Mahkamah Rayuan Syariah memperlihatkan usaha selari penggubalan perlembagaan yang
dibuat untuk memartabatkan perundangan syariah di Malaysia.
Hasrat luhur yang tersirat bersama pindaan perlembagaan
tersebut sebenarnya telah melalui beberapa fasa perkembangan yang menarik hasil
keputusan kes-kes mahkamah terhadap isu pertindihan bidang kuasa antara
Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil ini. Dr. Nuarrual Hilal dan Abdul Rani [32]menyatakan
bahawa satu masalah yang dihadapi oleh Mahkamah Syariah dalam menentukan bidang
kuasa yang dinyatakan dibawah Perkara 121 (1A) tersebut ialah ketiadaan bidang
kuasa disebabkan kegagalan Negeri untuk menyatakan dengan jelas dan secara
komprehensif perkara-perkara yang termaktub dibawah Senarai II Jadual 9.
Sebagai contohnya disesetengah negeri tiada peruntukan khusus yang menyatakan
perkara berkenaan murtad terletak dibawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Ekoran
daripada itu walaupun perkara yang dipertikaikan itu melibatkan isu syariah
tetapi mahkamah memutuskan bahawa Mahkamah Syariah tidak boleh dianggap
mempunyai bidang kuasa secara implikasi dengan ketiadaan peruntukan khusus
dalam enekmen negeri yang menyatakan secara khusus tentang bidang kuasa
Mahkamah Syariah untuk mendengar kes tersebut. Hasil daripada keputusan-keputusan
Mahkamah memperlihatkan dua pendekatan yang diambil dalam menentukan bidang
kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil iaitu “subject based approach” dan “remedy
based approach” atau “Pith and
Subtance approach”. Pendekatan mahkamah dengan melihat kepada “isu yang
dipertikaikan” ini sebagai penentu bidang
kuasa mahkamah yang berkaitan telah diputuskan dalam kes Md Hakim Lee v Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur[33],
Soon Singh a/l Bikar Singh v Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kedah
& Anor[34],
Shaikh Zolkaffily Bin Shaikh Natar & Ors v Religious Council of Penang[35],
Latifah Binti Mat Zin v Rosmawati Bt Sharibun & Anor[36],
Sulaiman Takrib v Kerajaan Negeri Terengganu (Kerajaan Malaysia , Intervener) [37]dan yang
terbaru kes Mahkamah Persekutuan Hj Raimi
Abdullah v Siti Hasnah Vangarama Abdullah and Anor Appeal[38].
Kesemua kes-kes yang dinyatakan bersetuju bahawa dalam menentukan bidang kuasa
Mahkamah Syariah ialah berdasarkan “subject
matter” yang dipertikaikan samada ianya melibatkan isu syariah atau tidak. Manakala
beberapa kes lain pula mahkamah cenderung untuk menggunakan pendekatan secara “Pith and Subtance” dan “remedy approach” iaitu dengan melihat
kepada isu sebenar yang dipertikaikan bukan bersandarkan “subject matter” samada ianya
mengenai isu syariah ataupun bukan isu syariah semata-mata. Dalam Kes Ng Wan Chan v Majlis Ugama Islam Wilayah
Persekutuan & Anor[39],
Lim Chan Seng v Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang [40],
Barkath Ali Bin Abu Backer v Anwar Kabir Bin Abu Backer & Ors[41],
In the Estate of Tunku Abdul Rahman Putra Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid[42]
, Dato’ Kadar Shah Tun Sulaiman lwn Datin Fauziah Haron[43],
mahkamah telah melihat kepada “pith and
Subtance” dalam menentukan samada Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil yang
mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes tersebut dan dalam banyak kes
tersebut walaupun ianya melibatkan “subject
matter” syariah namun tidak semestinya ianya berada dibawah bidang kuasa Mahkamah
Syariah. Walaupun “subject matter”
tersebut tersenarai dalam senarai II ianya tidak terus bererti bahawa Mahkamah
Syariah mempunyai bidangkuasa mengenainya. Badan Perundangan Negeri perlu
terlebih dahulu membuat undang-undang memberikan kuasa mengenai perkara itu
kepada Mahkamah Syariah. Mahkamah Sivil masih mempunyai bidang kuasa dengan
menggunakan pendekatan “remedy approach”
dan melihat kepada penyelesaian kepada isu yang dipertikaikan untuk memutuskan
kes-kes tersebut. Dalam kes Berjaya Books
Sdn Bhd, telah dihujahkan bahawa Seksyen 13 Akta 559 adalah selaras dengan
kuasa negeri sebagaimana yang termaktub dibawah Butiran 1 Senarai II Jadual 9
dibaca bersama dengan Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan dan tindakan
Resposden membuat serbuan, rampasan penerbitan yang bertentangan dengan hukum
syarak adalah berdasarkan bidang kuasa Negeri dan dengan itu Mahkamah Syariah
mempunyai bidang kuasa bukannya Mahkamah Sivil.
Manakala pihak Pemohon berhujah bahawa tindakan Responden dibawah
Seksyen 13 Akta 559 tidak semestinya membolehkan bidang kuasa Mahkamah Syariah
terpakai secara langsung sedangkan di peringkat Persekutuan wujud kesalahan
yang sama dibawah Seksyen 7 Akta 301 yang mana ianya jelas termaktub dibawah
kuasa Persekutuan dibawah Perkara 21 Senarai 1 Jadual 9. Telah dihujahkan juga
bahawa kesalahan yang dinyatakan didalam Seksyen 13 Akta 559 tersebut adalah
kesalahan terhadap perintah agama Islam dan bukan satu kesalahan jenayah.
Mahkamah Tinggi bersetuju dengan hujah pihak Pemohon dalam isu bidang kuasa ini
dan menyatakan bahawa Mahkamah Sivil mempunyai kuasa pemantauan “Supervisory Power” untuk mendengar kes
ini yang mana menurut mahkamah perlu diputuskan secara “ Pith and Subtance” dengan melihat isu yang lebih signifikan
dengan maksud dan tujuan permohonan
Semakan Kehakiman oleh pihak Pemohon.
Isu penentuan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah
Sivil sebenarnya memperlihatkan kecenderungan mahkamah membuat interpretasi
terhadap pindaan Perkara 121 (1A) dan sejauh mana ia memberi kesan dalam setiap
keputusan mahkamah. Mohammed Imam[44]
menyatakan bahawa aspirasi sebenar yang membawa kepada titik permulaan
pengiktirafan mahkamah Syariah setelah masyarakat melayu melihat keperluan
kehidupan mereka dalam konteks agama perlu diadili melalui perundangan hukum
syarak, sesuatu perkara yang sudah lama dinafikan dan dipinggirkan melalui
perkembangan sejarah sejak penjajahan British dimana kuasa raja-raja juga
seolah-olah disempitkan kepada hal ehwal agama Islam yang terhad sahaja.
Perkembangan ini sebenarnya telah merencat pengaruh undang-undang Islam pada
ketika itu. Merujuk kepada obiter oleh Thorne J dalam kes Ramah Binti Ta’at Lwn Laton Binti Malim Sutan [45] dimana
Hakim menyatakan bahawa samada Mahkamah Agung adalah merupakan tribunal yang
betul untuk menentukan kes-kes perkara agama Islam, sekiranya sebuah mahkamah
khas sepatutnya dapat ditubuhkan dibawah kuasa Sultan untuk mendengar kes
tersebut yang mana bidang kuasa Mahkamah Sivil dapat dikecualikan dengan
kewujudan Enakmen tersebut.
Pindaan Perkara 121 (1A) sebenarnya adalah reflektif kepada
kesedaran masyarakat Islam dan dibantu oleh buah fikiran golongan pengamal
undang-undang dan intelektual seperti Allahyarham Prof Ahmad Ibrahim yang
melihat betapa pentingnya pewujudan sempadan bidang kuasa diantara Mahkamah
Syariah dan Mahkamah Sivil untuk memberikan ruang dan kuasa kepada Mahkamah
Syariah berdiri sebagai sebuah mahkamah yang setara dengan Mahkamah Sivil dari
sudut Pelembagaan. Namun secara
realitinya aspirasi dan hasrat disebalik pindaan Perkara 121 (1A) sebenarnya
tidak direalisasikan secara total melalui banyak keputusan-keputusan mahkamah. Mahkamah
Rayuan dalam kes Siti Hasnah Vangarama
Abdullah lwn Tun Dr Mahathir Mohamad & Ors [46]misalnya
memutuskan bahawa bidang kuasa mahkamah sivil tidak terlucut secara automatik
walaupun isu pertikaian yang dibawa
mempunyai elemen undang-undang Islam dan ianya bukanlah niat pindaan Perkara
121 (1A) (untuk menjadikan isu pertikaian yang melibatkan elemen Islam sebagai
penentu bidang kuasa). Mahkamah berpendapat bahawa hanya isu pertikaian yang
berada secara eksklusif dibawah bidang kuasa mahkamah syariah sahaja yang memberi
efek kepada pengecualian bidang kuasa mahkamah sivil. Malah dicta yang lebih berani juga diputuskan
oleh Mahkamah Tinggi dalam kes Dato’
Kadar Shah yang menyatakan bahawa kedudukan Mahkamah Sivil adalah lebih
tinggi status dan kuasanya dibawah Court
of Judicature Act 1964 berbanding Mahkamah Syariah yang hanya mahkamah
peringkat negeri yang diwujudkan dibawah kuasa Negeri sahaja. Sentimen yang
sama juga diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Abdul Kahar Ahmad lwn Kerajaan
Negeri Selangor Darul Ehsan; Kerajaan Malaysia & Anor (Interveners) [47]yang
menyatakan bahawa bukanlah interpertasi perlembagaan dibawah Perkara 121 (1A)
untuk mengesahkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dengan mengecualikan bidang
kuasa Mahkamah Sivil. Pandangan Gopal Sri Ram JCA dalam kes Sukma Darmawan Sasmitaat Madja lwn Ketua
Pengarah Penjara Malaysia & Anor[48]
mengesahkan lagi interpretasi sama kesan pindaan Perkara 121 (1A) tersebut. Y.A
Hakim mengatakan bahawa bidang kuasa Mahkamah Syariah tersebut merujuk kepada bidang
kuasa eksklusifnya. Sekiranya seseorang individu Muslim melakukan kesalahan
yang ujud dalam kedua-dua undang-undang negeri dan Kanun Keseksaan misalnya,
maka Mahkamah Sivil mempunyai bidang kuasa. Hanya kesalahan eksklusif dibawah enakmen
Negeri sahaja yang mana Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa eksklusif. Y.A
Hakim memberikan contoh kesalahan zina bagi orang Islam yang menjadi kesalahan
dibawah enekmen Negeri maka pesalah tersebut boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah.
Sejauh manakah kebenaran interpretasi ini berdasarkan aspirasi sebenar
penggubalan pindaan Perkara 121 (1A)? Dr Farid Sufian menyanggah interpretasi
ini terutama pandangan Gopal Sri Ram JCA yang disifatkan beliau adalah
penghakiman yang tidak tepat kerana tiada dinyatakan didalam Perkara 121 (1A) Perlembagaan
Persekutuan bahawa Mahkamah Syariah perlu mempunyai bidang kuasa eksklusif.
Objektif penggubalan Perkara 121 (1A) adalah untuk memberikan bidang kuasa
eksklusif kepada Mahkamah Syariah, maka sekiranya Mahkamah Syariah sememangnya
mempunyai bidang kuasa eksklusif, apa perlu lagi Perkara 121 (1A). Namun
perkembangan mutakhir menampakkan beberapa keputusan mahkamah yang cenderung
dan bersetuju dengan pendekatan isu pertikaian atau “subject matter approach” dalam menentukan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Mahkamah Persekutuan dalam kes Hj Raimi
Abdullah lwn Siti Hasnah Vangarama Abdullah & Anor Appeal telah
mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan kes yang sama Siti Hasnah Vangarama Binti Abdullah lwn Tun Dr Mahathir Bin Mohamad
(PERKIM) & Ors yang mana isu mengenai samada kesahihan penukaran agama
kepada agama Islam adalah dibawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Tun Arifin Zakaria J dalam penghakiman beliau
memutuskan antara lain:-
(1)
Perkara 121A Perlembagaan Persekutuan
(“Perlembagaan”) jelas memperuntukkan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai
bidang kuasa berkaitan apa-apa perkara yang terangkum dalam bidang kuasa
Mahkamah Syariah. Perkara-perkara yang termasuk dalam bidang kuasa Mahkamah
Syariah adalah seperti yang diperuntukkan di bawah Per. 74 Perlembagaan, antara
lain, perkara-perkara yang terangkum dalam Senarai Negeri dalam Jadual Sembilan
yang adalah undang-undang Islam, peribadi dan undang-undang keluarga bagi
seseorang yang beragama Islam.
(2)
Adalah undang-undang matan bahawa
persoalan samada seseorang beragama Islam atau tidak merupakan perkara yang
terangkum dalam bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah. Adalah tidak wajar
sama sekali bagi mahkamah sivil, yang tidak mempunyai bidang kuasa berikutan
Perkara 121A, untuk menentukan kesahan kemasukan seseorang kedalam agama Islam
kerana ia adalah secara ketat isu keagamaan. Oleh itu, persoalan mengenai
kemasukan Islam oleh Plaintif dalam tahun 1983 terangkum dalam bidang kuasa
eksklusif Mahkamah Syariah.
Penghakiman kes ini memberikan skop yang jelas terhadap efek
pindaan Perkara 121 (1A) dalam menentukan bidang kuasa eksklusif Mahkamah
Syariah dan sepatutnya apabila melibatkan sesuatu isu pertikaian yang
melibatkan isu keagamaan seperti kes ini, pendekatan “subject matter approach” haruslah diikuti dan terikat. Namun begitu
masih terdapat kesamaran apabila sesuatu kesalahan itu wujud dalam kedua-dua
undang-undang Negeri dan Persekutuan sebagaimana dalam kes Sukma Darmawan yang menampakkan konflik antara Seksyen 377D Kanun
Keseksaan dan kesalahan liwat dibawah enakmen jenayah syariah. Isu penentuan
bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil menjadi semakin rumit apabila
polemik mengenai perlaksanaan hukum hudud dari kaca mata perlembagaan yang juga
melibatkan pembahagian kesalahan-kesalahan jenayah yang wujud dalam kedua-dua
enekmen Negeri dan Persekutuan. Dalam hal ini, Tun Abdul Hamid memberikan
pandangan apabila terdapat kesalahan yang serupa dalam Enakmen jenayah syariah
dan Kanun Keseksaan, mahkamah perlu melihat samada kesalahan itu terletak di
bawah bidang kuasa Negeri atau Persekutuan dengan merujuk balik kepada
Perlembagaan. Jika kesalahan itu termasuk dibawah kesalahan yang diperuntukkan
oleh Senarai II Jadual 9, maka undang-undang negeri itu sah dan mahkamah
syariah mempunyai bidang kuasa keatasnya. Jika kesalahan itu terletak di luar
Senarai II Jadual 9, maka undang-undang Persekutuan adalah sah dan mahkamah
sivil mempunyai bidang kuasa keatasnya.
Pandangan Dr Farid Sufian[49] juga boleh
dijadikan panduan dalam mentafsir maksud perkara-perkara yang berada dibawah
bidang kuasa Negeri iaitu Senarai II Jadual 9. Dalam mentafsir maksud Senarai
II tersebut ianya perlu dilihat kepada bahasa dan maksudnya. Senarai II adalah
tertakluk kepada Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan kuasa
Negeri untuk menggubal undang-undang mengenai perkara dibawah Senarai II.
Pandangan yang perlu diambil disini ialah sekiranya bahasa yang digunakan
didalam Senarai II tersebut melebihi “prima
facie” maksud yang dinyatakan didalam Perkara 74, maksud dalam Senarai II
tersebut tidak sepatutnya dihadkan kepada perkara 74 sahaja[50]. Dengan
kata lain, Senarai-Senarai dalam Jadual 9 Perlembagaan adalah sebahagian
daripada Perlembagaan Persekutuan dan ianya harus ditafsirkan mengikut kehendak
bahasa yang digunakan iaitu samada bermaksud “declarative” ataupun “imperative”.
Sekiranya maksud bahasa yang digunakan untuk mentafsirkan bahawa bidang kuasa
mahkamah syariah adalah terkecuali bagi kes-kes jenayah yang dilakukan oleh
orang bukan Islam, maka standard dan maksud bahasa yang sama juga boleh
digunakan untuk mentafsirkan kewujudan bidang kuasa Mahkamah Syariah sebaliknya.
Mahkamah Persekutuan dalam kes Majlis
Ugama Islam Pulau Pinang & Seberang Perai lwn Shaikh Zolkaffily Bin Shaikh
Natar & Ors[51]
memperlihatkan pendekatan yang terbaik dalam menentukan bidang kuasa
Mahkamah Syariah. Mahkamah telah memilih pendekatan yang lebih luas dalam
menentukan persoalan samada Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa terhadap
perkara yang dinyatakan dalam Butiran 1 Senarai II tetapi tidak dinyatakan
secara “express” atau “implied” dalam enekmen Negeri iaitu
dengan mengambil kira “purposive approach”
dibawah Akta Interpretasi 1948 dan 1967 untuk mengesahkan bidang kuasa Mahkamah
Syariah. Sebagai ulasan kepada penghakiman kes tersebut, Dr Farid Sufian [52]mencadangkan
bagi mengesahkan lagi bidang kuasa Mahkamah Syariah, satu klausa umum perlu
dipinda dan dimasukkan kedalam Enekmen Pentadbiran Agama Islam seperti berikut
:- For the avoidance of doubt, the
Syariah Court shall have jurisdiction over matters stated in Item 1 of the
State List.
Isu mengenai bidang kuasa Mahkamah Syariah telah juga
dibangkitkan dalam kes Berjaya Books Sdn
Bhd dimana pihak Reponden telah menfailkan rayuan terhadap keputusan
Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan Semakan Kehakiman pihak Pemohon.
Namun isu mengenai bidang kuasa ini ditolak oleh Mahkamah Rayuan atas alasan
kegagalan pihak Responden untuk menfailkan Notis Rayuan terhadap isu bidang kuasa mahkamah sivil yang
memutuskan bahawa mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa dan “supervisory power” untuk mendengar
permohonan Semakan Kehakiman ini. Mahkamah bersetuju bahawa prinsip Res Judicata terpakai dan pihak
Responden terhalang atau “estopped” daripada membawa kembali isu bidang kuasa
ini ke Mahkamah Rayuan. Satu perkara yang perlu diberikan perhatian dalam kes
ini ialah Mahkamah Rayuan telah membuat perbezaan antara permohonan Semakan
Kehakiman dan Permohonan Rayuan terhadap keputusan Mahkamah. Mahkamah telah
merujuk kepada tafsiran Lord Roskil dalam kes Chief Constable of the North West Police v Evans [53]“
is not an appeal from a decision, but a review of the manner in which the decision was made.”
Oleh itu fokus alasan penghakiman Mahkamah Rayuan adalah terhadap cara
bagaimana keputusan telah dibuat oleh mahkamah. Pendekatan secara”pith and substance” terhadap isu yang
dibawa dan pelanggaran Responden terhadap hak-hak Pemohon sebagaimana yang
diperuntukkan dibawah Perlembagaan Persekutuan menjadi antara alasan kewujudan
bidang kuasa mahkamah sivil untuk mendengar permohonan Semakan Kehakiman ini.
Pendakwaan Terhadap
Orang Bukan Islam
Butiran 1 Senarai II Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan dalam
konteks bidangkuasa jenayah Mahkamah Syariah menyatakan “hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya keatas orang yang menganut agama
Islam”. Oleh itu dari sudut
pelembagaan, pendakwaan keatas orang bukan Islam di Mahkamah Syariah atas
kesalahan jenayah syariah adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Pengecualian pendakwaan keatas orang bukan Islam adalah selari dengan prinsip
agama Islam itu sendiri dimana Islam tidak boleh memaksa orang bukan Islam yang
berada dibawah pemerintahan Islam untuk mengikat keterpakaian undang-undang
Islam keatas mereka. Dalam sejarah Islam, pengecualian ini disyaratkan kepada
orang bukan Islam tersebut yang dikategorikan sebagai Zimmi untuk membayar
Jizyah. Dr Saleh Al-Aayed [54]merujuk
kepada pandangan Abul A’la Al-Maududi [55]yang menyatakan
dalam kes jenayah , hukamak Islam akan mengadili kes yang melibatkan orang
bukan Islam terhadap kesalahan yang dikira berdosa mengikut agama mereka
seperti mencuri tetapi bagi perbuatan yang tidak dianggap berdosa mengikut
agama mereka seperti makan babi dan minum arak ianya dikecualikan daripada
sabitan kesalahan mengikut undang-undang Islam. Ini bertepatan dengan praktis
pada zaman Nabi Muhamad S.A.W ketika baginda mengadakan Piagam Madinah dimana
Baginda membenarkan kabilah bukan Islam untuk merujuk kepada agama dan
kepercayaan masing-masing dalam menghukum perkara-perkara berkaitan dengan kepercayaan
mereka. Mereka juga boleh merujuk kepada Baginda untuk mengadili kes mereka dan
Islam membenarkan sebagaimana ayat Al-Quran 5 :42 [56]. Hassan
Al-Basri [57]juga
menyatakan pandangan yang sama mengenai kebebasan orang bukan Islam untuk
mempraktikkan kepercayaan agama mereka ketika mana beliau ditanya oleh Khalifah
Umar Abdul Aziz tentang perkara ini.
Malah Islam amat menjaga hak-hak keadilan orang bukan Islam sebagaimana
yang dinyatakan didalam Al-Quran. Islam membenarkan mereka untuk dibicarakan
mengikut agama dan undang-undang mereka dan sekiranya mereka memilih untuk
membawa kes mengikut undang-undang Islam juga tidak dihalang. Sejarah mengenai
kes kehilangan baju besi seorang sahabat nabi bernama Qatadah yang dicuri oleh
Ta’ima dan disimpan dirumah seorang yahudi bernama Zayed adalah contoh penting
prinsip keadilan yang diangkat didalam Islam. Kes ini menjadi asbab al-nuzul penurunan ayat Al-Quran
4:105-109 [58]yang
memberikan panduan kepada Nabi Muhammad semasa penghukuman kes ini dijatuhkan.
Dalam konteks perlembagaan Malaysia, hak bukan Islam adalah
terjamin bahawa mereka tidak boleh didakwa diatas kesalahan jenayah undang-undang
Islam. Namun persoalan yang timbul pula adakah orang bukan Islam tidak boleh
memohon remedi dibawah undang-undang Islam sebagai contohnya dalam kes
penukaran agama salah seorang pasangan berkahwin kepada agama Islam. Kes Kaliammal a/p Sinnasamy Lwn Pengarah Jabatan
Agama Islam Wilayah Persekutuan & Ors [59]adalah
satu contoh dimana bidang kuasa mahkamah syariah terpakai dalam menentukan
status keislaman si mati. Dalam kes ini mayat M. Moorthy atau nama Islamnya
Mohamad Abdullah telah menjadi perebutan diantara balunya dan Majlis Agama
Islam Wilayah Persekutuan apabila simati tidak pernah memaklumkan keislaman
beliau kepada keluarganya. Keputusan mahkamah ini mengesahkan pentafsiran
perlembagaan bahawa dalam menentukan bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah
berkenaan “subject matter” dan
pihak-pihak yang terlibat boleh terdiri dari kalangan orang bukan Islam juga.
Dr Farid Sufian mengkategorikan tiga jenis kes-kes yang menjadi isu apabila
melibatkan pihak bukan Islam iaitu, pertamanya persoalan yang melibatkan status
agama Islam simati, keduanya persoalan kemurtadan seseorang muslim dan
ketiganya apabila salah seorang pasangan bukan Islam dari perkahwinan bukan
Islam memeluk agama Islam[60]. Telah
diputuskan bahawa orang bukan Islam boleh memberikan keterangan dalam prosiding
Mahkamah Syariah sebagaimana kes Nyonya
Tahir [61]dimana
Mahkamah Syariah menerima keterangan bukan Islam dalam menentukan status
keislaman si mati. Dr Zulkfakar [62]menyatakan
bahawa keterangan yang diberikan oleh saksi bukan Islam adalah sebagai Bayyinah dan bukannya Shahadah iaitu keterangan lisan yang
dibuat oleh saksi-saksi yang tidak memenuhi syarat sebagai seorang saksi untuk
memberikan kesaksian seperti yang diperuntukkan dibawah Seksyen 83(3) dan 83
(2) Akta 561[63].
Malah dalam kes-kes mal seperti hibah, wasiat dan penjagaan anak, Iqrar seorang
bukan Islam adalah diterima di Mahkamah Syariah dan mempunyai kuasa perundangan
iaitu pengakuan itu akan mengikat dirinya. Mahkamah Syariah juga boleh
memerintahkan saksi bukan Islam untuk hadir
memberikan keterangan atau dengan kata lainnya boleh dipaksa untuk hadir
memberikan keterangan.
Satu lagi isu yang melibatkan orang bukan Islam adalah samada
penggubal undang-undang Negeri boleh mewujudkan kesalahan yang merangkumi orang
bukan Islam dan sekiranya orang Islam tidak boleh didakwa di Mahkamah Syariah,
adakah mereka boleh disoal siasat untuk membantu siasatan penguatkuasa syariah?
Pandangan yang lebih tepat ialah walaupun orang bukan Islam tidak boleh didakwa
di Mahkamah Syariah, namun tidak bermakna penggubal undang-undang negeri tidak
boleh mewujudkan kesalahan yang merangkumi orang bukan Islam. Contoh jelas
adalah Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat
Hiburan 2003 (Negeri Terengganu) dan
Enekmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di kalangan Orang Islam) 1988
(Negeri Selangor). Enakmen-enakmen tersebut mewujudkan kesalahan berkaitan
dengan syariah dan pentadbiran agama Islam dan orang bukan Islam juga boleh
didakwa di Mahkamah Sivil terhadap kesalahan tersebut. Persoalan samada orang
bukan Islam boleh dipanggil untuk disoal siasat telah dibangkitkan juga dalam
kes Berjaya Books Sdn Bhd dimana
pegawai JAWI (Responden) telah menyoal kakitangan beragama Islam dan bukan
Islam di premis serbuan dan mengarahkan mereka untuk hadir di pejabat Responden
untuk siasatan lanjut. Salah satu alasan permohonan Semakan Kehakiman oleh
pemohon dalam kes ini ialah tindakan Responden mengadakan operasi serbuan di
kedai buku tersebut dan menyoal siasat kakitangan bukan Islam adalah melebihi
kuasa dan tidak rasional. Walaupun mahkamah bersetuju bahawa tindakan Responden
dibawah Seksyen 13 Akta 559 adalah melebihi kuasa dan tidak sah terhadap orang
bukan Islam dan tidak terpakai kepada sebuah syarikat iaitu Berjaya Books Sdn
Bhd , namun mahkamah tidak membuat pemisahan antara bidang kuasa Mahkamah Syariah
dan bidang kuasa penguatkuasa negeri. Dr Farid Sufian menyatakan bahawa
ketiadaan bidang kuasa terhadap bukan Islam dalam kesalahan syariah tidak
bermakna tiada juga kuasa pihak Penguatkuasa negeri untuk menguatkuasakan
kesalahan tersebut. Analogi yang diambil ialah bagaimana pihak polis masih
mempunyai kuasa untuk membantu penguatkuasa agama dalam kes-kes khalwat
sedangkan pihak polis tiada kuasa untuk membuat operasi terhadap kesalahan
undang-undang jenayah syariah. Mahkamah Rayuan [64]dalam
kes Berjaya Books Sdn Bhd juga telah
membuat satu intrepretasi sempit terhadap isu bidang kuasa Mahkamah Syariah
terhadap bukan Islam. Mah Weng Kwai J memutuskan bahawa bukan Islam tidak boleh
didakwa di bawah enakmen syariah, malah bukan muslim juga tidak boleh diarahkan
untuk hadir ke Mahkamah Syariah disebabkan ketiadaan bidang kuasa Mahkamah
Syariah terhadap orang bukan Islam.
Jelas keputusan Mahkamah Rayuan tersebut adalah berdasarkan
tafsiran secara literal Perlembagaan Persekutuan dan gagal untuk melihat kepada
perspektif yang lebih luas bidang kuasa Mahkamah Syariah berdasarkan keputusan
mahkamah sebelum ini. Jika tafsiran sempit ini digunapakai, maka Mahkamah Syariah
dalam kes Nyonya Tahir sepatutnya
tidak menerima keterangan pihak pemohon kerana keterangan bukan Islam (dalam
kes ini anak simati) tidak boleh diterima pakai disebabkan ketiadaan bidang
kuasa Mahkamah Syariah terhadap bukan Islam. Boleh dikatakan juga bahawa pemahaman
bahawa Mahkamah Syariah adalah merupakan mahkamah keagamaan masih lagi menebal
dikalangan hakim Mahkamah Sivil yang bukan beragama Islam malah juga yang
beragama Islam telah membawa kepada anutan pentafsiran sempit ini. Pentafsiran
undang-undang Islam yang tidak hanya terikat kepada dogma dan ritual
semata-mata malah mencakupi aspek dan ruang lingkup yang lebih luas adalah
kunci kepada pemahaman konsep Islam itu sendiri sebagai sebuah agama yang
berpaksikan keadilan sejagat tanpa mengira perbezaan agama dan kepercayaan.
Penguatkuasaan dan
Pendakwaan Kesalahan Jenayah Syariah
Mahkamah Tinggi dalam kes Berjaya
Books Sdn Bhd telah memutuskan bahawa semasa serbuan dan rampasan
penerbitan buku tersebut dibuat, tiada sebarang perintah larangan atau “Prohibitory Order” dikeluarkan oleh
Kementerian Dalam Negeri “KDN” yang menghalang penerbitan, penjualan dan
pengedaran buku tersebut. Perintah KDN hanya dikeluarkan selepas tujuh hari
serbuan dilakukan. Mahkamah berpendapat Seksyen 13 Akta 559 harus dibaca selari
dengan Perkara 7 Perlembagaan Persekutuan [65]yang
menyatakan bahawa tiada seorangpun boleh dihukum untuk sesuatu perbuatan yang
belum menjadi kesalahan semasa perbuatan tersebut dilakukan. Mahkamah juga
memutuskan bahawa Akta 559 hanya memperuntukkan kesalahan terhadap penerbitan
dan pengedaran buku yang bertentangan dengan hukum syarak, tetapi tidak
memperuntukkan kuasa kepada penguatkuasa Negeri untuk menghalang sesuatu
penerbitan tersebut. Oleh yang demikian, untuk menjadikan penguatkuasaan
kesalahan tersebut selari dengan peruntukan perlembagaan , maka Seksyen 7 Akta
301 perlu dipatuhi terlebih dahulu dengan pengeluaran perintah atau notis
kepada awam dan disusuli dengan penguatkuasaan oleh penguatkuasa Negeri. Mahkamah
Rayuan juga telah bersetuju dengan hujah Responden mengenai “pith and substance” dalam kes ini adalah
mengenai pelanggaran Perayu terhadap perkara fundamental dan hak-hak Responden
dari sudut perlembagaan yang mana Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa pemantau “supervisory role” untuk mentafsirkan
secara harmonis peruntukan undang-undang antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah
Syariah. Berdasarkan pemerhatian, kes Berjaya
Books Sdn Bhd memperlihatkan kekurangan pemahaman oleh pihak penguatkuasa
Negeri mengenai undang-undang yang ingin dikuatkuasakan. Siti Zubaidah [66]menyatakan
kekurangan kemahiran hands-on dan
pembacaan tiga undang-undang serangkai iaitu kesalahan jenayah syariah,
tatacara dan keterangan oleh kebanyakan pegawai penguatkuasa menyebabkan
kredililiti badan penguatkuasaan Negeri menjadi sasaran kritikan masyarakat.
Lanjutan daripada banyak kes-kes serbuan yang mendapat perhatian masyarakat
mengenai ketidak seragaman dan tindakan professional pegawai penguatkuasa, maka
satu garis panduan atau “Standard
Operating Procedure” telah dikeluarkan pada tahun 2007 iaitu Arahan Tetap
Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri 2007 (Garis Panduan Penguatkuasaan
Undang-Undang Jenayah Syariah). Garis Panduan ini sedikit sebanyak dapat
membantu memberikan panduan kepada para penguatkuasa agama dalam menjalankan
operasi dan penguatkuasaan undang-undang. Yang menjadi persoalan disini, sejauh
mana garis panduan yang dikeluarkan itu dipatuhi dan diikuti dan sejauhmana
pula pemahaman terhadap garis panduan tersebut oleh badan penguatkuasa negeri. Siti
Zubaidah memberikan komennya bahawa kebanyakan pegawai penguatkuasa agama
mempunyai latar belakang dan tahap pendidikan yang berbeza-beza sedangkan dalam
konteks perlaksanaan undang-undang jenayah syariah dan sistem keadilannya
segala penguatkuasaan dan pendakwaan adalah berpandukan akta dan enakmen
tatacara jenayah syariah. Ianya menuntut pemahaman yang jitu berkaitan kehendak
undang-undang yang ingin dikuatkuasakan kerana ianya merupakan perkara asas
dalam menjalankan tugas harian. Antara sebab inilah kenapa berlaku kepincangan
dari segi prosedur penguatkuasaan kerana kebanyakan pegawai penguatkuasa tidak
mempunyai latar belakang undang-undang.
Perlu ditekankan disini, Mahkamah Tinggi dalam kes Berjaya Books Sdn Bhd telah membuat satu
penghakiman yang jelas mengenai kepincangan tindakan serbuan oleh pihak Responden
sebagaimana penghakiman Dato’ Zaleha J:
The applicant had shown
existence of illegality, abuse of discretionary powers, irrationality,
unreasonable exercise of power, unconstitutionally and that existed procedural
impropriety on the part of respondent. There were elemen of mala fide in the
handling and carrying out of the action of respondents.
Timbul persoalan disini, apakah garis panduan yang telah
dikeluarkan tidak dikuti dan dihayati sepenuhnya yang menyebabkan tindakan
penguatkuasa Negeri ini akhir mendedahkan betapa banyak lagi ruang kefahaman
yang perlu diterapkan kepada badan penguatkuasa Negeri. Ibrahim Deris dan Hanifah Haydar [67]membuat
satu pemerhatian bahawa di Wilayah Persekutuan didapati garis panduan sedia ada
tidak dikaji secara mendalam. Hal ini boleh dilihat berdasarkan kualiti kerja
penguatkuasa agama sebagai contohnya alasan ketiadaan gambar dalam operasi disandarkan
kepada alasan keterlupaan dalam penyelengaraan kamera atau siasatan yang tidak
menyeluruh dalam pengambilan keterangan operasi saksi. Pemerhatian lanjut
terhadap garis panduan seperti Arahan Tetap 2007 juga masih perlu diberikan
penambahbaikan dari segi skop yang lebih luas kerana garis panduan tersebut
tidak menghuraikan tatacara peringkat lain, seperti peringkat apabila fail kes
telah diserahkan kepada bahagian pendakwaan, peringkat setelah kes didaftarkan
di mahkamah dan peringkat perbicaraan. Arahan ini juga tidak menerangkan
tindakan yang harus diambil untuk memaksa suspek hadir; prosedur apabila
penguatkuasa agama ingin membuat permohonan waran tangkap, waran geledah dan
sebagainya semasa kes masih dalam peringkat siasatan. Kepincangan prosedur oleh pihak Responden dalam kes Berjaya Books Sdn Bhd telah membawa
kepada tekanan kepada pihak Perayu dalam usaha mereka untuk meneruskan
pendakwaan keatas Pemohon ke tiga iaitu Pengurus Kedai buku yang beragama Islam
bernama Nik Raina Bt Nik Abdul Aziz di Mahkamah Syariah. Kemungkinan berhadapan
dengan prosiding menghina keputusan Mahkamah Sivil akhirnya Pendakwa Syarie memutuskan
bahawa rayuan untuk meneruskan pendakwaan terhadap Nik Raina di Mahkamah
Syariah akhirnya ditarik balik.[68]
Ketika artikel ini ditulis, peguam bagi pihak Perayu mengesahkan bahawa kes ini akan diteruskan rayuan ke Mahkamah
Persekutuan. Seharusnya senario yang berbeza mungkin boleh berlaku sekiranya
pihak Perayu iaitu penguatkuasa agama lebih peka dan teliti tentang bidang
kuasa undang-undang, isu-isu penguatkuasaan dan pematuhan arahan dan prosedur
yang telah digariskan sebelum tindakan penguatkuasaan ini dilakukan.
Melihat kepada keadaan semasa, pemerkasaan institusi Mahkamah
Syariah memerlukan tindakan bersepadu bukan sahaja peningkatan tahap
professionalism pengurusan pentadbiran Mahkamah Syariah, malah tindakan
bersepadu untuk mengukuhkan kredibiliti badan penguatkuasaan Negeri perlu
menjadi satu objektif selari. Latihan pengukuhan dan penguatkuasaan
undang-undang perlu menjadi agenda berterusan untuk memperkemaskan pemahaman
dan pengetahuan undang-undang oleh pegawai penguatkuasa agama. Sokongan daripada
agensi persekutuan seperti pasukan polis amatlah diharapkan kerana tindakan
bersepadu dengan memperlihatkan gabungan agensi persekutuan dan penguatkuasa
negeri dalam mewujudkan rangkaian penguatkuasaan undang-undang yang lebih
efektif, harmonis dan lebih berkesan. Bagi tujuan ini, latihan bersama atau
kursus pemantapan dan pemahaman undang-undang perlu melibatkan kedua-dua
peringkat negeri dan persekutuan demi mencapai keseragaman dan objektif yang
sama. Salah satu cadangan yang perlu diambil perhatian sebagaimana cadangan Dr
Farid Suffian untuk memperkasakan lagi institusi pendakwaan syariah, ialah
dengan mewujudkan jawatan Pendakwa Syariah yang bebas dan berintegriti. Dengan
kata lain selaras dengan kuasa Pendakwa Syariah untuk memulakan pendakwaan atau
pengguguran sesuatu kes jenayah syariah di Mahkamah Syariah, sepatutnya
Pendakwa Syariah dilihat lebih bebas berdiri sendiri untuk membuat keputusan
tanpa melibatkan campur tangan dari segi pengurusan oleh JAKIM. Bagi tujuan
ini, cadangan untuk mewujudkan Jabatan Pendakwaan Syariah yang terpisah
daripada Jabatan Agama Islam Negeri adalah satu cadangan yang perlu diambil
perhatian yang serius. Pewujudan Jabatan Pendakwaan Syariah Persekutuan juga
adalah satu cara untuk memperkasakan badan penguatkuasaan syariah dari segi
keseragaman tindakan dan peningkatan tahap professionalism dan kedudukan
institusi perundangan Islam di Malaysia secara amnya.
Penutup
Rangkuman daripada pemerhatian penulis berdasarkan
perkembangan semasa dan sorotan kes-kes penting yang telah diputuskan oleh
mahkamah apabila berlaku pertindihan bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dan
Mahkamah Sivil , pengiktirafan kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah jelas
terjamin apabila ia melibatkan isu yang jelas “subject matter”nya adalah berkaitan dengan undang-undang Islam dan
hukum syarak sebagai contohnya apabila mahkamah perlu menentukan yang kesahihan penukaran agama kepada agama
Islam, Mahkamah Persekutuan sebagaimana kes Hj
Raimi Abdullah v Siti Hasnah Vangarama Abdullah and Anor Appeal telah
bersetuju dengan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Namun pendekatan “subject matter approach” ini tidak
sewenang-wenangnya diterima sebagai satu pendekatan yang terpakai untuk kesemua
kes-kes konflik antara bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil. Dalam
banyak kes, mahkamah melihat kepada “pith
and substance” atau “remedy approach”
apabila isu pertikaian yang dibawa dilihat daripada sudut pertembungan had
kuasa penggubalan undang antara Negeri dan Persekutuan. Isu-isu pelanggaran hak
asasi dan hak-hak yang termaktub didalam perlembagaan adalah merupakan asas
kukuh bagi Mahkamah Sivil untuk memainkan peranan sebagai mahkamah yang
mempunyai kuasa pemantau dalam memastikan prinsip keadilan dinikmati secara
menyeluruh oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira gender, kaum dan
anutan agama. Secara realitinya, usaha untuk memartabatkan institusi
perundangan Mahkamah Syariah telah melepasi tempoh perjalanan yang sukar selama
27 tahun bermula dengan pindaan Perkara 121 (1A) pada tahun 1988. Jelas sekali,
aspirasi murni para penggubal undang-undang untuk melihat Mahkamah Syariah berkembang
setara dengan Mahkamah Sivil telah berada pada landasan yang betul. Cuma usaha
yang berterusan untuk memperkasakan institusi perundangan Islam ini memerlukan
usaha bersepadu samada di peringkat Negeri mahupun di peringkat Persekutuan
untuk meningkatkan kredibiliti dan tahap professionalisme kesemua pihak yang
terlibat bermula dengan kakitangan, Pendakwa, Hakim dan peguam syarie.
Peningkatan kefahaman undang-undang Islam dan prinsip keadilan sejagat perlu
disampaikan kepada golongan bukan Islam supaya pandangan yang lebih tepat dan
sesuai mengenai perundangan Islam dapat dikembangkan kedalam komuniti bukan
Islam. Tanggungjawab ini tidak terhenti dibahu institusi kehakiman Islam sahaja,
tetapi ia adalah tanggungjawab dan komitmen bersepadu daripada pihak Eksekutif
dan Pentadbir negara secara amnya.
Rujukan
- Prof Ahmad Ibrahim,”The Amendment of Article 121 of The
Federal Constitution : Its Effect on The Administration of Islamic Law”
[1989] 2 MLJ xvii
- Mohammed Imam,”Syariah/Civil Courts ‘ Jurisdiction in
the Matters of Hukum Syara : A Persisting Dichotomy [1995] 1 CLJ lxxxi
(Jan)
- Dato’ Abdul Hamid Mohamad, Civil and Syariah Court in Malaysia :
Conflict of Jurisdictions, Institute of Islamic Understanding
Malaysia, International Seminar on Islamic Law in the contemporary world,
[2000]
- Dr Shad Saleem Faruqi,“The Jurisdiction of State Authorities to Punish Offences against
the precept of Islam : A Constitutional Perspective”, http://www.malaysianbar.org.my/content/view/1847/27/,
28 September 2005
- Nuarrual Hilal Md Dahlan & Abdul Rani
Kamaruddin,”Civil Jurisdiction of
Syariah Court in Malaysia-Should it be Expressed or Implied?: A Reflection
[2005] , Seminar Kebangsaan PPSPP Ke 2.
- Dr Farid Sufian Shuib “Powers and Jurisdiction of Syariah Court in Malaysia” 2nd
Edition, Lexis Nexis Petaling Jaya.
- Dr. Farid Sufian Shuib “Constitutional Restatement Of Parallel Jurisdiction Between Civil
Courts and Syariah Courts In Malaysia ; Twenty Years on (1988-2008)
[2008] 5 MLJ xxxiii
- Dr Farid Sufian Shuib “Strengthening Administrative Institutions Of Islamic Law in
Malaysia [2008] Jurnal Syariah, Jil 16, Keluaran Khas 443-464
- Ramizah
Wan Muhammad (2011), The
Administration of Syariah Courts in Malaysia, 1957-2009, Journal of
Islamic Law and Culture, 242-252
- Dr. Farid Sufian Shuib,”Isu Perlembagaan Dan Hak Asasi Manusia Dalam Pentadbiran Keadilan
Jenayah Syariah” [2015] 27 KANUN (1) pp 37
- Siti Zubaidah Ismail “Dasar Penguatkuasaan Dan Pendakwaan Jenayah Syariah Di Malaysia :
Satu Analisis, [2008] Jurnal Syariah Jil. 16, Keluaran Khas, hlm.
537-554
- Ibrahim Deris & Hanifah Haydar Ali Tajuddin “
Penggunaan Garis Panduan dan Etika
Dalam Penambahbaikan Perjalanan Penguatkuasaan Dan Pendakwaan Kesalahan
Syariah” [2015] 27 KANUN (1) ,102-121
- Tun Abdul Hamid Mohamad, Bidang Kuasa Persekutuan Dan Negeri Mengenai Undang-Undang Jenayah
Di Malaysia , Kertas Kerja Seminar ‘Memperkasakan Undang-Undang
Jenayah Islam : Mendidik Ummat [2014]
- Dr Shamrahayu A.Aziz, “Islamic Criminal Law in the Malaysian Federal Structure: A
Constitutional Perspective [2007] 15 IIUMLJ 101
- Dr Saleh Al-Aayed, ‘The Rights of Non-Muslim (part 7 of 13) : The Right to Follow
Their Religious Law, www.islamreligion/articles/374/viewall/,
published on 25 Jul 2006
- Maududi, Abul ‘Ala, “The Rights of The People of Covenant in The Islamic State,
P.20-21
- Dr Zulfakar Ramlee Saad,” Penglibatan Orang Bukan Islam Dalam Sistem Kehakiman Syariah:
Bukan Islam Sebagai Saksi di Mahkamah Syariah Malaysia”, Kertas Kertas
di Simposium Fiqh Masyarakat Bukan
Islam di Malaysia, 23-24 Disember 2009
[1]
[2014] 8 CLJ ; dan Rayuan Sivil No : W-01-143-04/2013
[2]
Mohammed Imam,”Syariah/Civil Courts ‘ Jurisdiction in the Matters of Hukum
Syara : A Persisting Dichotomy [1995] 1 CLJ lxxxi (Jan)
[3]
Dato’ Abdul Hamid Mohamad, Civil and Syariah Court in Malaysia : Conflict of
Jurisdictions, Institute of Islamic Understanding Malaysia, International
Seminar on Islamic Law in the contemporary world, [2000]
[4] Dr Shad
Saleem Faruqi,“The Jurisdiction of State Authorities to Punish Offences against
the precept of Islam : A Constitutional Perspective”, http://www.malaysianbar.org.my/content/view/1847/27/,
28 September 2005
[5] Nuarrual
Hilal Md Dahlan & Abdul Rani Kamaruddin,”Civil Jurisdiction of Syariah
Court in Malaysia-Should it be Expressed or Implied?: A Reflection [2005] ,
Seminar Kebangsaan PPSPP Ke 2.
[6] Dr.
Farid Sufian Shuib “Constitutional Restatement Of Parallel Jurisdiction Between
Civil Courts and Syariah Courts In Malaysia ; Twenty Years on (1988-2008)
[2008] 5 MLJ xxxiii
[7] Dr Farid
Sufian Shuib “Strengthening Administrative Institutions Of Islamic Law in
Malaysia [2008] Jurnal Syariah, Jil 16, Keluaran Khas 443-464
[8]
Ramizah Wan Muhammad (2011),
The Administration of Syariah Courts in Malaysia, 1957-2009, Journal of Islamic
Law and Culture, 242-252
[9]
Dr. Farid Sufian Shuib,”Isu Perlembagaan Dan Hak Asasi Manusia Dalam
Pentadbiran Keadilan Jenayah Syariah” [2015] 27 KANUN (1) pp 37
[10] Siti
Zubaidah Ismail “Dasar Penguatkuasaan Dan Pendakwaan Jenayah Syariah Di Malaysia
: Satu Analisis, [2008] Jurnal Syariah Jil. 16, Keluaran Khas, hlm. 537-554
[11]
Ibrahim Deris & Hanifah Haydar Ali Tajuddin “ Penggunaan Garis Panduan dan
Etika Dalam Penambahbaikan Perjalanan Penguatkuasaan Dan Pendakwaan Kesalahan
Syariah” [2015] 27 KANUN (1) ,102-121
[12] Tun
Abdul Hamid Mohamad, Bidang Kuasa Persekutuan Dan Negeri Mengenai Undang-Undang
Jenayah Di Malaysia , Kertas Kerja Seminar ‘Memperkasakan Undang-Undang Jenayah
Islam : Mendidik Ummat [2014]
[13] Dr Shad
Saleem Faruqi,“The Jurisdiction of State Authorities to Punish Offences against
the precept of Islam : A Constitutional Perspective”, http://www.malaysianbar.org.my/content/view/1847/27/,
28 September 2005
[14]“…When the British
came, however, through a series of treaties with the Sultans beginning with the
Treaty of Pangkor and through the so-called British advice, the religion of
Islam became separated into two separate aspects, viz. the public aspect and
the private aspect. The development of
the public aspect of Islam had left the religion as a mere adjunct to the
ruler’s power and sovereignity.”
[1988] 2 MLJ 55 (MA)
[15] Che
Omar Bin Che Soh V Public Prosecutor [1988] 2 MLJ pp 56
[16] [2009]
6 MLJ 354 (MP)
[17] [1993]
3 MLJ 344 (MA)
[18] Dr
Shamrahayu A.Aziz, “Islamic Criminal Law in the Malaysian Federal Structure: A
Constitutional Perspective [2007] 15 IIUMLJ 101
[19]
Dr. Farid Sufian Shuib,”Isu Perlembagaan Dan Hak Asasi Manusia Dalam
Pentadbiran Keadilan Jenayah Syariah” [2015] 27 KANUN (1) pp 37
[20]
Perlembagaan Persekutuan, Butiran 4, Senarai 1, Jadual 9
[21]
Seksyen 18 dan 27 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997
[22]
Common Gaming House Act 1953 dan Kanun Keseksaan Seksyen 377A
[23]
Perlembagaan Persekutuan, Perkara 21
[24]
Perlembagaan Persekutuan, Perkara 74
[25]
[1988] 1 MLJ 119
[26]
Kanun Keseksaan, Seksyen 298A
[27]
Perlembagaan Persekutuan, Perkara 11 (4)
[28]
Perlembagaan Persekutuan, Perkara 121 (1A)
[29]
Prof Ahmad Ibrahim,”The Amendment of Article 121 of The Federal Constitution :
Its Effect on The Administration of Islamic Law” [1989] 2 MLJ xvii
[30]
[1971] 3 LNS 1; [1971] 1 MLJ 265
[31]
[1969] 1 MLJ 110
[32]
Nuarrual Hilal Md Dahlan & Abdul Rani Kamaruddin,”Civil Jurisdiction of
Syariah Court in Malaysia-Should it be Expressed or Implied?: A Reflection
[2005] , Seminar Kebangsaan PPSPP Ke 2.
[33] [1998]
1 MLJ 681
[34] [1999]
1 MLJ 489
[35] [2003]
3 CLJ 231
[36] [2007]
5 CLJ 253 FC
[37] [2009]
6 MLJ 354 MP
[38] [2014]
1 SHR 89 FC
[39] [1991]
3 MLJ 487
[40] [1996]
3 CLJ 231
[41]
[1997] 4 MLJ 389
[42]
[1998] 4 MLJ 623
[43]
[2008] 7 MLJ 779 MT
[44]
Mohammed Imam,”Syariah/Civil Courts ‘ Jurisdiction in the Matters of Hukum
Syara : A Persisting Dichotomy [1995] 1 CLJ lxxxi (Jan)
[45]
[1927] 6 FMSLR 128 “Whether or not the Supreme Court is the proper tribunal for dealing
with these cases, and whether it would not be more consonant with the views of
those professing the Mohamedan religion that His Highness the Sultan-in-Council
in each State should establish special Courts for dealing with these cases with
an appeal to His Highness the Sultan-in-Council in each case; of course the jurisdiction of the Supreme
Court and of the Court of Appeal would properly be excluded by such Enactment”.
[46] [2012]
7 CLJ 845 CA
[47]
[2008] 4 CLJ 309 FC
[48]
[1999] 1 CLJ 481
[49] Dr.
Farid Sufian Shuib “Constitutional Restatement Of Parallel Jurisdiction Between
Civil Courts and Syariah Courts In Malaysia ; Twenty Years on (1988-2008)
[2008] 5 MLJ xxxiii
[50] Dr
Farid Sufian Shuib “Powers and Jurisdiction of Syariah Court in Malaysia” 2nd
Edition, Lexis Nexis Petaling Jaya,hlm. 84-85.
[51] [2003]
3 CLJ 289
[52] Dr
Farid Sufian Shuib “Strengthening Administrative Institutions Of Islamic Law in
Malaysia [2008] Jurnal Syariah, Jil 16, Keluaran Khas 443-464
[53] [1982]
1 WLR 1155,1174
[54] Dr
Saleh Al-Aayed, ‘The Rights of Non-Muslim (part 7 of 13) : The Right to Follow
Their Religious Law, www.islamreligion/articles/374/viewall/,
published on 25 Jul 2006
[55]
Maududi, Abul ‘Ala, “The Rights of The People of Covenant in The Islamic State,
P.20-21
[56]
Al-Maidah :42
[57] Hassan
Al-Basri adalah seorang ulama’ terkemuka daripada generasi kedua sahabat Nabi
SAW. Dilahirkan di Madinah pada 642 CE. Dibesarkan di Basra, Iraq dan semasa
hayat beliau sempat berjumpa dengan ramai Sahabat Nabi dan meriwayatkan banyak
hadith. Ibunya Ummu Salamah adalah isteri kepada Nabi SAW. Beliau meninggal di
Basra pada 728 CE ketika berumur 88.
[58]
Al-Nisa’ :105-109
[59]
[2006] 1 MLJ 685
[60]
Dr Farid Sufian Shuib “Powers and Jurisdiction of Syariah Court in Malaysia” 2nd
Edition, Lexis Nexis Petaling Jaya,hlm. 144.
[61]
Mahkamah Tinggi Syariah Seremban [2006] JH 221
[62]
Dr Zulfakar Ramlee Saad,” Penglibatan Orang Bukan Islam Dalam Sistem Kehakiman
Syariah: Bukan Islam Sebagai Saksi di Mahkamah Syariah Malaysia”, Kertas Kertas
di Simposium Fiqh Masyarakat Bukan Islam
di Malaysia, 23-24 Disember 2009
[63]
Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997
[64]
Rayuan Sivil No : W-01-143-04/2013, Per Mah Weng
Kwai J :“The 2nd Respondent who is non-Muslim cannot be subject to
and/or be the subject of enforcement actions by the 1st Appellant
under the Syariah Criminal Procedure (Federal Territory) Act 1997 as the SCO
Act applies to Muslim only, as defined in the Administration of Islamic Law
(Federal Terrritories) Act 1993. By virtue of Item 1 of the State List of the
Ninth Schedule of the Constitution it is beyond doubt that non-Muslim cannot be
subjected to Islamic Law. They cannot compelled to appear before the Syariah
Court. Even if they consent, the Syariah Court has no jurisdiction over them.
Jurisdiction is a matter of law, not of consent, acquience or convenience..”
[65]
Perlembagaan Persekutuan , Perkara 7
[66] Siti
Zubaidah Ismail “Dasar Penguatkuasaan Dan Pendakwaan Jenayah Syariah Di
Malaysia : Satu Analisis, [2008] Jurnal Syariah Jil. 16, Keluaran Khas, hlm.
537-554
[67]
Ibrahim Deris & Hanifah Haydar Ali Tajuddin “ Penggunaan Garis Panduan dan
Etika Dalam Penambahbaikan Perjalanan Penguatkuasaan Dan Pendakwaan Kesalahan
Syariah” [2015] 27 KANUN (1) ,102-121
[68]
www.themalaymailonline.com/malaysia/articles/nik-rainas-nightmare-finally-over-as-jawi-drops-case
* Artikel ini adalah satu keperluan tugasan untuk subjek "Isu Undang-Undang Perlembagaan - LAW 5240" semasa penulis mengikuti program Diploma in Syariah Law & Legal Practice (DSLP) di Uiniversiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Comments