PERUBAHAN KONTRAK AR-RAHNU BERDASARKAN KEPUTUSAN MESYUARAT MAJLIS PENASIHAT SYARIAH (MPS) BANK NEGARA MALAYSIA

 


Majlis Penasihat Syariah BNM telah memutuskan bahawa struktur produk Ar- Rahnu berasaskan konsep wadiah dan upah simpan yang ditawarkan oleh institusi perbankan Islam adalah tidak patuh Syariah. Isu upah simpan yang dikenakan kepada pelanggan didapati mengandungi margin keuntungan yang terkait dengan gadaian marhun adalah riba. Bersandarkan kepada dalil dan nas syarak, maka apa-apa bentuk manfaat kepada bank daripada aktiviti Ar-Rahnu adalah dianggap sebagai “Qard jarra naf’an” (pinjaman yang menjana manfaat dan keuntungan) adalah dilarang. Justeru, Majlis Penasihat Syariah BNM telah memutuskan supaya institusi kewangan Islam memperkenalkan konsep baharu untuk produk Ar-Rahnu berkuatkuasa pada 1 Februari 2020.

 

Berikut adalah petikan keputusan Mesyuarat Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara kali ke 194 :-

 

MPS pada mesyuarat ke-194 bertarikh 25 Jun 2019 memutuskan bahawa struktur semasa produk

ar-rahnu yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam (IKI) berasaskan gabungan kontrak qard

(pinjaman), rahn (cagaran), wadi`ah (simpanan) dan ujrah (upah simpan) tidak memenuhi keperluan

Syariah yang ditetapkan dalam PD Rahn berdasarkan hujah-hujah berikut:

 

(i)       Keberkaitan dan kebergantungan kontrak, rahn, wadi`ah dan ujrah dengan kontrak qard dalam struktur produk ini menimbulkan isu qard jarra naf`an (pinjaman yang menjana manfaat kepada pemberi pinjam) dan bai` wa salaf (gabungan kontrak jual beli dan pinjaman) yang tidak dibenarkan Syarak. Dalam struktur produk ini, salah satu kontrak tidak akan efektif tanpa kewujudan kontrak lain. Sebagai contoh, qard hanya diberikan dengan syarat pelanggan menyimpan emas dan membayar upah simpanan emas tersebut. Hal ini secara tidak langsung mewujudkan keberkaitan antara qard dan caj upah simpan yang membawa kepada isu qard jarra naf’an; dan

 

(ii)              Kombinasi rahn dan qard dalam produk ar-rahnu bagi menjana keuntungan tidak menepati objektif kontrak (muqtada `aqd) rahn dan qard memandangkan objektif asal kedua-dua kontrak adalah untuk cagaran dan kebajikan (charity).”

 

 

MPS dalam membincangkan isu berkaitan berkaitan konsep produk Ar-Rahnu menfokuskan kepada dua isu utama berikut :-

 

1.       Isu kebergantungan dan persyaratan antara qard dengan kontrak upah simpanan aset cagaran

 

Dalam struktur ar-rahnu, hanya pelanggan yang menyimpan dan mencagarkan emas mereka kepada IKI akan layak untuk mendapatkan pinjaman. Upah bagi perkhidmatan

penyimpanan emas akan dikenakan kepada pelanggan bergantung kepada nilai emas yang

dicagarkan. MPS mendapati berdasarkan amalan tersebut, terdapat persyaratan dan kebergantungan yang jelas antara kontrak qard dan kontrak upah perkhidmatan simpanan yang dimeterai antara pihak IKI dan pelanggan.

 

 

2.       Isu elemen keuntungan dalam upah simpanan ke atas aset cagaran

 

Dalam amalan semasa, kadar upah simpanan emas yang dikenakan oleh IKI kepada pelanggan ditentukan berdasarkan nilai emas yang dicagarkan. Kaedah penentuan kadar upah simpanan ini didapati mengandungi elemen keuntungan dan ini adalah tidak selaras dengan keperluan Syariah yang hanya membenarkan pengenaan caj simpanan berdasarkan kos yang berkait langsung dengan transaksi rahn sahaja.

 

Berdasarkan amalan dalam industri perbankan Islam, kebanyakan produk pembiayaan yang

ditawarkan IKI menggunakan kontrak jualan (bai`) atau sewaan (ijarah) bagi menjana keuntungan. Dalam hal ini, keuntungan yang terhasil daripada kedua-dua kontrak tersebut adalah harus disisi Syarak.

 

Ini berbeza dengan produk ar-rahnu sedia ada yang menggunakan kontrak qard (pinjaman)

sebagai kontrak utama. Mengikut perspektif Syariah, pemberi pinjam tidak dibenarkan mengambil jumlah yang melebihi nilai pinjaman yang diberikan sama ada secara langsung atau tidak langsung, kerana ia menjana manfaat kewangan kepada pemiutang

 

MPS mendapati gabungan kedua-dua kontrak qard dan rahn dengan tujuan menjana keuntungan adalah bertentangan dengan objektif kontrak tersebut. Kontrak qard merupakan kontrak tabarru`at (bersifat kebajikan) dan rahn merupakan kontrak cagaran yang mana objektif asal kedua-dua jenis kontrak ini bukanlah untuk menjana keuntungan seperti mana tujuan lain-lain kontrak seperti jual beli (bai). Prinsip Rahn menetapkan bahawa caj yang boleh dikenakan kepada penggadai hanyalah kos yang berkait langsung dengan penyimpanan aset gadaian. Dalam hal ini, sebarang caj yang melebih kos langsung adalah tidak dibenarkan kerana ia akan membawa kepada penjanaan keuntungan yang mana ia bertentangan dengan objektif asal kontrak rahn.

 

Untuk lebih memahami konsep gabungan kontrak qard, rahn, wadiah dan ujrah yang diamalkan dalam produk Ar-Rahnu sebelum ini adalah seperti berikut :-




 

 

Kontrak Ar-Rahnu Patuh Syariah.

 

Lanjutan daripada keputusan MPS yang memutuskan produk Arrahnu yang bersandarkan kontrak qard, rahn, wadi`ah dan ujrah adalah tidak patuh Syariah, maka cadangan telah dikemukakan oleh IKI untuk menggunapakai konsep tawarruq kepada produk Ar-Rahnu. Cadangan telah dibentangkan kepada MPS dan telah diputuskan dalam Mesyuarat MPS ke-198 dan ke-199 bertarikh 29 Oktober 2019 dan 26 November 2019 seperti berikut :-

 

“ Menurut seksyen 52 Akta Bank Negara Malaysia 2009, MPS telah memutuskan bahawa penstrukturan produk ar-rahnu berasaskan tawarruq dan rahn adalah dibenarkan tertakluk kepada syarat-syarat berikut:


i.              Bagi struktur yang melibatkan pembelian komoditi secara pukal pada awal hari perniagaan, penyesuaian fiqah (takyif fiqhi) berkenaan pembatalan pembelian komoditi daripada penyedia platform perdagangan komoditi pada akhir hari perniagaan hendaklah jelas;


ii.           Dalam situasi kemungkiran oleh pelanggan, kebenaran daripada pelanggan perlu diperoleh sebelum proses penjualan (pencairan) aset cagaran dilaksanakan;

iii.    Terma dan syarat produk ar-rahnu hendaklah menyatakan dengan jelas layanan-layanan

  berikut dalam situasi kemungkiran oleh pelanggan yang membawa kepada pencairan aset     cagaran:

 

(a)          jika hasil daripada pencairan aset cagaran melebihi liabiliti pelanggan, lebihan                tersebut hendaklah dikembalikan kepada pelanggan; dan

(b)        jika hasil daripada pencairan aset cagaran adalah kurang daripada liabiliti atau         obligasi pelanggan, pihak institusi kewangan Islam (IKI) berhak untuk mendapatkan amaun tersebut daripada pelanggan. 

iv.          Pelanggan hendaklah dimaklumkan berhubung spesifikasi dan ciri-ciri komoditi yang dijual

beli termasuklah lokasi, jenis, kualiti, dan kuantiti serta kaedah pengiraannya bagi mengelakkan elemen ketidakpastian (gharar) dan pertikaian oleh pihak-pihak yang berkontrak; dan

v.           Semua keperluan yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia dalam dokumen polisi Tawarruq dan Rahn hendaklah dipatuhi.

 Keputusan ini hendaklah dibaca bersama keputusan MPS berhubung pelaksanaan aturan tawarruq secara straight-through processing (STP) bertarikh 26 November 2019.

 

MPS telah membincangkan sama ada keuntungan yang dijana melalui struktur ar-rahnu berdasarkan konsep tawarruq dan rahn bertepatan dengan prinsip Syariah dan telah memutuskan bahawa gabungan kedua-dua kontrak tersebut tidak membawa kepada perkara yang dilarang Syarak seperti riba, gabungan jual beli dengan hutang (bai` wa salaf) dan hutang yang menjana keuntungan kepada pemberi pinjaman (qard jarra naf`an). Oleh itu, MPS memutuskan bahawa penggunaan kontrak tawarruq dan rahn bagi produk ar-rahnu menepati keperluan Syariah dan aplikasi konsep cagaran dalam kontrak pembiayaan diharuskan daripada sudut Syariah bagi memelihara kepentingan pihak yang memberi pembiayaan dalam situasi kemungkiran.

 

Sebagai perbandingan, struktur produk Ar-Rahnu Tawarruq boleh difahami berdasarkan ilustrasi berikut :-




Comments

Popular posts from this blog

SOLUSI PENGURUSAN HARTA PUSAKA ANDA

The effect of Section 281 of Islamic Financial Services Act 2013.

KENAPA HARTA UMAT ISLAM BOLEH MENJADI BEKU?