KELULUSAN ELAUN DAN FI PENGARAH : PERUNTUKAN AKTA KOPERASI 1993 DAN AKTA SYARIKAT 2016




Salah satu prinsip tadbir urus koperasi yang telah digariskan dibawah Garis Panduan 27 : Tadbir Urus Koperasi yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) ialah mengenai penetapan prosedur ganjaran yang formal dan telus kepada Anggota Lembaga, Jawatankuasa, Ketua Pegawai Eksekutif dan pihak pengurusan. Jumlah ganjaran tersebut hendaklah dinyatakan didalam belanjawan tahunan secara terperinci mengikut kategori dan jenis elaun yang ditetapkan. Ganjaran yang disediakan perlu dibentangkan ke Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) untuk diluluskan oleh para perwakilan. Sebarang ganjaran yang diterima oleh mana-mana Anggota Lembaga Koperasi yang tidak dibentangkan dan diluluskan dalam MAPT adalah merupakan satu kesalahan dibawah Seksyen 46 Akta Koperasi 1993. Suruhanjaya Koperasi Malaysia sebagai badan pengawalselia mempunyai kuasa dibawah akta ini untuk mendakwa mana-mana anggota lembaga yang menerima elaun yang tidak diluluskan atau menerima jumlah elaun yang melebihi peruntukan belanjawan tahunan yang diluluskan oleh MAPT.  Pendakwaan dibawah seksyen ini telah dilakukan oleh SKM dalam beberapa kes yang melibatkan koperasi seperti laporan media massa. [1]

Berbeza dengan entiti syarikat sebelum pemakaian Akta Syarikat 2016, Akta terdahulu iaitu Akta Syarikat 1965 tidak mempunyai peruntukan yang sama kesannya sebagaimana Seksyen 46 Akta Koperasi yang jelas memperuntukkan keperluan elaun Anggota Lembaga Koperasi perlu diluluskan dalam MAPT. Namun, sebagai langkah untuk meningkatkan ketelusan tadbir urus syarikat awam, Akta Syarikat 2016 telah memperuntukkan Seksyen 230 seperti berikut :-

230 (1) Fi bagi Pengarah, dan apa-apa faedah yang kena dibayar kepada Pengarah termasuklah apa-apa pampasan bagi kehilangan pekerjaan seseorang Pengarah atau bekas Pengarah -

(a) bagi suatu syarikat awam; atau 

(b) bagi suatu syarikat tersenarai dan subsidiarinya

hendaklah diluluskan pada suatu mesyuarat agung.

Sebarang pelanggaran sub-seksyen (1), sesebuah syarikat boleh disabitkan kesalahan dan didenda tidak melebihi tiga juta ringgit, manakala sebarang penerimaan fi pengarah yang melanggar seksyen ini juga hendaklah dianggap sebagai hutang pengarah kepada syarikat. 

Walaubagaimanapun terdapat sedikit perbezaan antara entiti koperasi dan syarikat dimana pengarah yang dilantik dibawah Akta Syarikat boleh pada masa yang sama dilantik juga sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang bersandarkan kontrak diantaranya dan syarikat. Bagi terma perlantikan portfolio eksekutif ini, ianya tidak tertakluk kepada skop Seksyen 230 Akta Syarikat 2016. 

Satu perkembangan terbaru yang menarik ialah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah mengambil langkah penguatkuasaan dibawah Seksyen 230 ini dengan memulakan satu pendakwaan terhadap sebuah syarikat senaraian awam yang melanggar peruntukan seksyen ini. Ini adalah merupakan pendakwaan pertama dibawah seksyen ini semenjak pemakaian Akta Syarikat 2016. [2]

Langkah pendakwaan yang dimulakan oleh SSM ini menunjukkan tindakan proaktif oleh badan pengawalselia kearah perlaksanaan tadbir urus syarikat senaraian awam yang lebih telus dan meningkatkan lagi kualiti pengurusan apabila pemegang saham diberikan kuasa pemantauan sebagaimana peruntukan Akta Syarikat 2016.


[1] https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2012/02/29/bekas-setiausaha-koperasi-didakwa-terima-wang-tanpa-kelulusan 

[2] https://www.theedgemarkets.com/article/nwp-charged-failing-obtain-shareholders-approval-payment-directors-fees


Comments

Popular posts from this blog

SOLUSI PENGURUSAN HARTA PUSAKA ANDA

The effect of Section 281 of Islamic Financial Services Act 2013.

KENAPA HARTA UMAT ISLAM BOLEH MENJADI BEKU?