Bila Izrai'l Datang Memanggil..

" Tiap tiap roh akan merasai mati, sesudah kami mencuba kamu melalui kesukaran dan kemewahan, dan kepada kami sajalah tempat kembali kamu yang terakhir."

(Al-Anbia' : 35)


Kematian itu satu kepastian, namun kadang-kadang kita terlupa bahawa sebenarnya kehidupan kita di dunia ini adalah merupakan satu persinggahan sementara untuk menuju ke destinasi yang kekal abadi; destinasi akhirat. Kita juga mudah terlupa bahawa untuk menuju ke destinasi akhirat kita memerlukan bekal amalan yang secukupnya semasa hidup di dunia ini. Tanpa bekalan amalan yang cukup kita mungkin akan terkandas ditengah jalan dan tidak akan sampai ke destinasi yang telah dijanjikan oleh Allah S.W.T kepada hambaNya yang beriman.


Lantas mengingati kematian adalah satu perkara yang akan sentiasa menyedarkan kita bahawa kita sebenarnya dalam perjalanan ke sana dan akan dipanggil bila-bila masa sahaja. Pastikan bekalan amalan yang secukupnya kerana kita tidak akan tahu bila ajal akan datang menjengah.

Telah berkata Umar bin Abdul Aziz kepada setengah ulama, "Nasihatilah aku". Ulama' itu berkata " Engkau khalifah pertama yang akan meninggal". Umar berkata "Nasihatilah aku lagi". Ulama' itu berkata " Setiap manusia merasai mati dan kini tibalah giliranmu". Mendengarkan itu Umar pun menangis.

Rabi' bin Khaitsam telah mengggali kubur di rumahnya. Setiap hari dia tidur disitu beberapa kali untuk mengingati mati. Dia berkata " Kalau hatiku tidak mengingati mati walau sesaat sahaja akan hancurlah aku".

Hamid al-Qusairi berkata: “Setiap kita meyakini kematian, tetapi kita tidak membuat sebarang persediaan terhadapnya. Setiap kita juga meyakini dengan syurga tetapi tidak kelihatan kita melakukan sebarang amalan. Dan setiap kita meyakini dengan neraka akan tetapi kita tidak kelihatan takut kepadanya. Apakah yang menyebabkan kamu bergembira? Tidakkah ingatan dan harapan kamu kepada kematian itu merupakan perkara yang pertama-tama sekali mengingatkan kamu kepada suruhan Allah sama ada dengan melaksanakan kebaikan atau menghindari kejahatan. Wahai saudaraku, berjalanlah kamu kepada tuhanmu dengan jalan yang sebaik-baiknya.”

Apakah kita sudah bersedia untuk menghadapi kematian?



"Seharusnya orang yang menghadiri jenazah itu merenungi dirinya sendiri sehingga dia boleh menangisi dirinya bukan menangisi mayat"
(Mukasyafah Al-Qulub - Imam Al-Ghazali)

Comments

Popular posts from this blog

SOLUSI PENGURUSAN HARTA PUSAKA ANDA

The effect of Section 281 of Islamic Financial Services Act 2013.

KENAPA HARTA UMAT ISLAM BOLEH MENJADI BEKU?