Bidangkuasa Unit Pembahagian Pusaka Kecil Jabatan Ketua Pengarah Pejabat Tanah Dan Galian (JKPTG) dibawah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 [Akta 98]

 





1.       Pengenalan

Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (“AHPK(P) 1955”) adalah undang-undang pentadbiran pusaka kecil yang telah digubal parlimen berdasarkan Ordinan Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 yang dikuatkuasakan oleh pentadbiran Inggeris di seluruh negeri di Tanah Melayu bermula di Kelantan pada 1 Disember 1955, diikuti negeri-negeri lain seperti Johor, Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Selangor dan Terengganu pada 1 Julai 1957 dan di Kedah bermula 1 Ogos 1957.  Akta ini bertujuan untuk mentadbir hal ehwal harta pusaka orang Islam dan bukan Islam selain daripada undang-undang lain seperti Akta Probet dan Pentadbiran 1959. AHPK(P) 1955 adalah merupakan akta khusus bagi pengendalian kes-kes pusaka kecil yang menjadi fokus penulisan ini.

 

AHPK(P) 1955 selanjutnya telah dipinda dalam usaha untuk memperkemaskan proses pentadbiran harta pusaka dengan mewujudkan satu unit pembahagian harta pusaka kecil dibawah pemantauan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian di Kementerian Sumber Asli & Alam Sekitar.  Berdasarkan pekeliling Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Bil : 16/1974 mengenai Pembahagian Tugas-Tugas Dan Memproses Permintaan-Permintaan Pembahagian Pusaka Kecil antara lainnya memperuntukkan seperti berikut :-

2.          Pegawai-pegawai Penyelesai Pesaka Kecil telah dilantik di bawah Jabatan Tanah Persekutuan dan ditempatkan di negeri-negeri untuk membantu Pejabat Tanah dalam kerja-kerja yang berkenaan dengan pembahagian pusaka kecil yang dijangka akan bertambah dengan banyaknya berikutan dengan satu pindaan yang telah dibuat di dalam Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 menaikkan nilaian pusaka kecil daripada $10,000 kepada $25,000. Peruntukan ini berjalan kuatkuasanya mulai 1hb Julai, 1975. Tiap-tiap Pegawai Penyelesai Pusaka Kecil adalah dilantik sebagai Penolong Pemungut Hasil Tanah untuk memberi mereka kuasa menguruskan kes-kes pusaka kecil di bawah Akta 98 Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955.

 

Pindaan AHPK(P) 1955 bertujuan untuk melicinkan keberkesanan proses tuntutan harta pusaka kecil serta mengurangkan tunggakkan kes-kes harta pusaka kecil dimana Kerajaan Persekutuan berkuasa untuk menggubal undang-undang berkaitan tanah dengan tujuan untuk menyeragamkan perundangan tanah disemua negeri. Sehubungan dengan itu hal pengurusan dan pembahagian pusaka kecil telah diletakkan dibawah Ketua Pengarah Tanah Dan Galian dengan mewujudkan jawatan pegawai penyelesai pusaka kecil (penolong pengarah) yang setaraf dengan penolong pentadbir tanah dan majistret kelas kedua. Terdapat sebanyak 36 cawangan unit pembahagian pusaka kecil yang diletakkan dibawah JKPTG diseluruh Malaysia.

 

2.       Pusaka Kecil

Apakah yang dimaksudkan Pusaka Kecil? Seksyen 3 (2) AHPK 1955 mendefinisikan pusaka kecil seperti berikut :-

(2) For the purposes of this Act, a small estate means an estate of a deceased person consisting wholly or partly of immovable property situated in any State and not exceeding two million ringgit in total value.

Tiga ciri utama harta pusaka kecil ialah :-

i.            Harta simati yang ditinggalkan mestilah tanpa wasiat yang bersangkutan dengan Akta         Wasiat 1959 (untuk bukan Islam);

ii.              Harta simati tersebut perlu terdiri daripada harta tak alih sahaja atau harta tak alih bercampur dengan harta alih; dan

iii.         Harta simati tersebut nilainya mestilah tidak melebihi RM2.0 juta pada tarikh permohonan dibuat.

 

Timbul satu persoalan bagi orang Islam yang mati meninggalkan wasiat dan sekiranya wasiat itu juga menyatakan perlantikan wasi, adakah unit pusaka kecil masih mempunyai bidangkuasa untuk menerima permohonan pembahagian bagi harta berwasiat nilaiannya dibawah dua juta?

Untuk menjawab persoalan diatas, AHPK(P) 1955 memperuntukan bagi setiap permohonan atau petisyen untuk pembahagian harta pusaka kecil, pemohon iaitu waris yang berkepentingan perlu membuat permohonan melalui borang khusus (Borang A) sebagaimana Seksyen 8 (1) AHPK(P) 1995 :-

8. (1) Where any person has died intestate leaving a small estate, any person claiming to be interested in the estate as a beneficiary, or a creditor, or a purchaser, or in the circumstances mentioned in subsection 18(1), the penghulu or a Settlement Officer of the district or of the locality in which any land of which the deceased was the proprietor is situated, or the *Corporation, may lodge with the Land Administrator at any district wherever the immovable property comprised in the estate is situated a petition, in the prescribed form, for the distribution of the estate.

Jelas dinyatakan diatas bahawa permohonan pembahagian dibawah Seksyen 8 adalah bagi harta simati yang tidak meninggalkan wasiat (died intestate). Oleh yang demikian, bagi harta simati yang ada meninggalkan wasiat, saluran yang tepat bagi wasi yang dilantik adalah untuk memohon Geran Probet di Mahkamah Tinggi Sivil sebagaimana yang diperuntukkan dibawah Seksyen 3 Akta Probet dan Pentadbiran 1959.

Bidangkuasa eksklusif Mahkamah Tinggi terhadap harta berwasiat telahpun termaktub dalam AHPK(P) 1955 sebagaimana Seksyen 5 (1) :-

5. (1) Subject to this section, nothing in this Act shall affect the exclusive jurisdiction of the High Court to grant probate of any will or testamentary disposition or letters of administration in any case in which the deceased has left a valid will or other valid testamentary disposition in respect of a small estate or part thereof and the grant when made shall have effect in all respects as if the estate had not been a small estate.


Selanjutnya adalah menjadi tanggungjawab Pentadbir Tanah untuk menyemak samada dalam menentukan kuasanya untuk mendengar sesuatu permohonan pembahagian dibawah AHPK(P) 1955, terdapat permohonan terdahulu yang telah dibuat di Mahkamah Tinggi atau dimana-mana unit pembahagian pusaka kecil negeri lain sebagaimana Seksyen 8 (3) :-

  (3) The Land Administrator shall thereupon give notice to the principal registry of the High Court of the lodging with him of the petition and shall ascertain from the registry whether any petition relating to the estate has, before that petition having been lodged, been filed in the High Court or lodged with any other Land Administrator.


Dan sekiranya ternyata telah terdapat permohonan terdahulu, maka Pentadbir Tanah berkewajioan untuk menangguhkan permohonan petisyen pembahagian (stay all proceeding) sebagaimana Seksyen 8 (9) :-

(9) If upon ascertaining from the principal registry of the High Court, the Land Administrator has notice that any other petition for distribution had been previously lodged in respect of the estate with any other Land Administrator or that any application has been made to the Director of Lands and Mines or the Director General of Lands and Mines under subsection 4(2) or that any petition for probate or letters of administration with a will or a copy of a will annexed has been filed in the High Court in respect of the estate, he shall forthwith stay all proceedings upon the petition before him until either, as the case may be, an order has been made by the Court under paragraph 5(2)(c) directing him to distribute the estate or an order has been made under subsection 4(2) conferring jurisdiction upon him.

 

3.       Harta Berwasiat

 

Akta Probet dan Pentadbiran 1959 adalah merupakan undang-undang yang terpakai bagi harta berwasiat untuk orang Islam dan bukan Islam walaupun jika dirujuk kepada definisi “Wasiat” dalam Seksyen 2 Akta tersebut mentakrifkan seperti berikut :-

“wasiat” meliputi sesuatu kodisil atau lain-lain dokumen perwasiatan dan suatu wasiat teristimewa yang sah dibawah seksyen 26 Ordinan Wasiat 1959, atau dibawah undang-undang bertulis yang bersamaan yang berkuatkuasa di Sabah atau Sarawak.

Ketiadaan definisi wasiat orang Islam menuruk hukum syarak dalam Akta diatas membawa kepada satu persoalan berkaitan tentang bidangkuasa Mahkamah Syariah terhadap hal ehwal pentadbiran wasiat orang Islam yang mana sepatutnya berada dibawah persempadanan kuasa Mahkamah Syariah.

Bagi menjawab persoalan ini, undang-undang yang digubal melalui enakmen negeri adalah bersifat substantif dan bukannya bersifat administratif. Yang dimaksudkan dengan substantif ini adalah dari segi perlaksanaan, ketidaksahan, pembatalan, penerimaan dan penolakan serta isu-isu wasiat yang berkaitan dengan benefisiari. Sebaliknya enakmen negeri tidak memperkatakan tentang pentadbiran dan pengurusan undang-undang wasiat orang Islam. Kesannya menyebabkan pentadbiran harta wasiat orang Islam masih berada dibawah undang-undang sivil sama seperti wasiat orang bukan Islam. Mahkamah Syariah hanyalah berbidangkuasa untuk menentukan pertikaian mengenai kesahihan wasiat orang Islam atau mengesahkan kadar pembahagian faraid kepada waris simati tetapi tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan Surat Kuasa Mentadbir.

 

4.       Kesimpulan.

Seksyen 8 AHPK(P) 1955 telah memperuntukan secara spesifik mengenai permohonan petiyen pembahagian bagi harta yang tidak berwasiat. Selanjutnya Akta yang sama juga mengesahkan bidangkuasa eksklusif Mahkamah Tinggi terhadap permohonan probet bagi harta berwasiat. Seksyen 8 Akta juga memperincikan prosedur dan tanggungjawab Pentadbir Tanah dalam menerima sesuatu permohonan petisyen pembahagian. Jelas bahawa kedudukan hieraki Pentadbir Tanah tidak boleh mengatasi bidangkuasa eksklusif Mahkamah Tinggi dalam menentukan samada Unit Pembahagian Pusaka Kecil mempunyai kuasa untuk menerima permohonan pembahagian harta berwasiat dibawah nilaian RM2.0 Juta. Dalam hal ini penulis berpandangan, walaupun dalam keadaan dimana tiada mana-mana permohonan terdahulu dibuat di Mahkamah Tinggi atau Unit Pusaka Kecil di lain-lain negeri, Unit Pembahagian Pusaka Kecil tidak mempunyai bidangkuasa untuk menerima petisyen pembahagian dibawah Seksyen 8 kerana forum yang tepat bagi Wasi yang dilantik melalui wasiat ialah membuat permohonan Geran Probet di Mahkamah Tinggi.

 

Nota kaki :

Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke 75 pada 2 Ogos 2019 telah bersetuju dengan Cadangan Pindaan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955. Cadangan pindaan ini antara lain adalah untuk meningkatkan bidangkuasa nilaian pejabat pusaka dari RM2 juta kepada RM5 juta, menghapuskan syarat keperluan untuk memiliki harta tak alih dan membenarkan permohonan pusaka difailkan di mana-mana pejabat pusaka di dalam negeri di mana harta tak alih itu berada. Walaupun sehingga kini masih tiada perkembangan lanjut berkenaan pembentangan cadangan ini ke peringkat parlimen.


~Cakna Pusaka Waris Terjaga~

Comments

Popular posts from this blog

SOLUSI PENGURUSAN HARTA PUSAKA ANDA

The effect of Section 281 of Islamic Financial Services Act 2013.

KENAPA HARTA UMAT ISLAM BOLEH MENJADI BEKU?