KENAPA HARTA UMAT ISLAM BOLEH MENJADI BEKU?

 

Apabila kita berbicara mengenai pewarisan harta dalam Islam, lazimnya ia merujuk kepada pembahagian harta pusaka simati kepada waris-waris yang berhak mengikut hukum faraid. Hukum faraid adalah hukum yang telah termaktub dalam Al-Quran sebagai panduan umat Islam dalam menguruskan pembahagian harta pusaka. Pensabitan dan keterpakaian hukum faraid jelas sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Nisa :7 yang menceritakan secara umum tentang bahagian waris lelaki dan waris perempuan. Perincian tentang bahagian setiap waris dinyatakan dalam Surah Al-Nisa’ : 11 dan 12 dan ayat terakhir Surah berkenaan iaitu ayat ke 179. Dalam ketiga-tiga ayat ini Allah telah menjelaskan bahagian-bahagian waris ahli fardu dan ahli ‘asabah serta keadaan pewarisan mereka.

Perlaksanaan hukum faraid sebagai jalan penyelesaian kepada pembahagian harta pusaka adalah panduan yang telah digariskan didalam Islam namun pada masa yang sama hukum islam tidaklah menjadi rigid dalam soal membuat perancangan pewarisan harta semasa pemilik harta masih hidup. Ini selari dengan kehendak ajaran Islam dalam pengurusan dan perbelanjaan harta untuk dimanafaatkan oleh orang lain. Indahnya konsep pemilikan harta didalam Islam ialah Harta itu adalah milik Allah. Oleh itu harta yang terhasil daripada satu-satu proses pengeluaran atau penciptaan kekayaan bukanlah semata-mata milik mereka yang terlibat dalam proses tersebut. Bahkan mereka yang tidak terlibat secara langsung dalam pengumpulan harta kekayaan juga mempunyai hak untuk menikmatinya terutama bagi golongan fakir miskin yang memerlukannya Maka seseoang yang berusaha dan memiliki hasil daripada pemilikan harta tersebut sebenarnya mempunyai tanggungjawab untuk mengagihkan dan menginfaqkan sebahagian harta mereka kejalan yang diredhai oleh Allah SWT.

Dalam kesibukan kita menguruskan harta, bersengkang mata mengerah keringat untuk mengumpul kekayaan, sering kali kita terlupa bahawa harta yang didambakan itu sebenarnya bukan untuk dinikmati oleh kita semata-mata. Semasa hidup harta kekayaan dan wang ringgit mewah dibelanjakan untuk diri sendiri , untuk keluarga, untuk rakan taulan. Semuanya dalam kawalan dan jangkauan kita. Namun apabila mati menjemput, harta kekayaan yang didambakan itu tidak dapat ikut bersama kita. Rumah-rumah besar, tanah-tanah kebun, wang ringgit, saham syarikat dan segala-gala harta kita akan ditinggalkan semua. Kepada siapa?…..tentunya kepada waris-waris yang berhak keatas harta kita. Namun ianya tidak semudah yang difikirkan. Harta yang ditinggalkan perlu diurus , ditadbir dan dibuat pembahagian kepada kesemua pewaris yang berhak. Mengapakah ada harta umat islam yang menjadi beku dan tidak dapat di selesaikan pembahagian harta pusakanya? Bukankah hukum faraid adalah solusi kepada permasalahan ini? Ya, Hukum faraid telah menggariskan formula yang lengkap bagaimana pembahagian dapat dilakukan kepada waris-waris si mati. Yang menjadi kekangan bukanlah hukum faraid itu sendiri. Hukum faraid sudah lengkap. Yang menyebabkan harta umat boleh menjadi beku itu sebenarnya ialah masalah dengan pemilik harta dan pewarisnya serta institusi yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal harta pusaka.

Masalah dengan Waris-waris

Waris simati sebenarnya ramai yang tidak mengetahui bahawa proses pembahagian harta tidak berjalan secara sendirinya tanpa diurus dan ditadbir. Apabila berlaku kematian baru lah mereka mula mencari maklumat bagaimana proses untuk menguruskan dan menuntut harta pusaka tersebut. Selalunya waris yang paling tua atau anak sulung yang diharapkan oleh waris lain untuk menggalas tanggungjawab untuk menguruskan harta pusaka peninggalan ibubapa mereka. Jika anak sulung yang diharapkan untuk menguruskan hal ehwal pusaka ini juga meraba-raba didalam gelap tentang prosedur untuk memulakan proses pembahagian harta pusaka, maka ianya akan tertangguh dan melewatkan proses ini. Natijahnya harta tersebut akan terbeku sehingga ianya diselesaikan. Ketiadaan ilmu dan ditambah dengan kekangan kesibukan masa menambahkan lagi risiko harta menjadi beku. Pewaris seharusnya mengetahui urusan tuntutan harta pusaka ini perlu dilakukan samada di Pejabat Pusaka Kecil, Amanah Raya Berhad atau di Mahkamah Tinggi. Semua urusan ini berjalan mengikut waktu pejabat. Maka bagi waris yang bekerja ini, ianya menjadi satu bebanan kerana terpaksa mengambil cuti untuk menguruskan ehwal pusaka ini. Semakin lama bertangguh akhirnya berlarutan hingga harta tersebut terus terbeku tanpa penyelesaian. Ada juga dikalangan waris-waris yang tidak mempunyai hubungan yang baik antara sesama mereka. Perbalahan keluarga akan menyebabkan urusan pembahagian harta pusaka menjadi semakin rumit akibat tiada kesepakatan antara waris-waris. Tambah ketara jika nilai harta pusaka itu agak kecil menjadikan pewaris merasakan tidak berbaloi untuk menyelesaikannya. Masalah yang paling kerap berlaku ialah jahilnya tentang ilmu faraid dikalangan waris-waris. Kejahilan ini akan menjurus kepada masalah berkait seperti perebutan harta, tamak haloba hingga sanggup memakan hak orang lain secara batil. Selagi ia tidak dapat diselesaikan diantara waris-waris, harta peninggalan si mati akan terus menjadi beku.

Masalah dengan Pemilik Harta Pemilik harta

Pemilik harta yang berpandangan jauh akan membuat perancangan harta semasa hidup. Perkara yang paling asas yang perlu diambil berat oleh pemilik harta ialah membuat wasiat dan perlantikan wasi. Dengan adanya perlantikan wasi, apabila berlaku kematian, waris-waris tidak perlu terbeban dengan prosedur untuk mencairkan aset-aset si mati kerana wasi yang dilantik bertanggungjawab untuk menguruskan pembahagian harta pusaka si mati. Antara punca harta simati menjadi beku ialah kegagalan pemilik harta untuk meletakkan penama dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),Tabung Haji, polisi insuran takaful, saham amanah dan saham koperasi. Kegagalan untuk meletakkan penama melambatkan lagi proses untuk mencairkan harta si mati kerana ia perlu melalui proses perlantikan pentadbir untuk menguruskan pembahagian aset-aset tersebut. Akhirnya kesukaran melalui proses tersebut akan mendatangkan masalah kepada pewaris dalam menuntut dan membahagikan harta pusaka.

Masalah Berkaitan dengan Institusi atau Agensi yang mengendalikan pembahagian pusaka

Secara umumnya terdapat tiga institusi pengurusan dan pentadbiran harta pusaka si mati di semenanjung Malaysia iaitu Seksyen Pembahagian Pusaka Kecil, Amanah Raya Berhad dan Mahkamah Tinggi Sivil. Undang-undang dan prosedur pengurusan harta pusaka di institusi terlibat adalah terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam. Manakala Mahkamah Syariah pula berfungsi dalam bidangkuasanya berkaitan dengan perakuan pewarisan atau Sijil Faraid. Berdasarkan situasi semasa, tiada keseragaman atau satu institusi yang khusus yang berfungsi untuk menyelesaikan isu pembahagian harta pusaka dibawah satu bumbung. Ini ditambah dengan pertindihan bidangkuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil yang juga antara sebab yang menjadi kekangan kepada kelancaran pengurusan harta pusaka. Dengan adanya tiga saluran berbeza berdasarkan bidangkuasa dan had nilaian harta yang terlibat, waris-waris selalunya tidak berpengetahuan secara jelas untuk memulakan proses tuntutan harta pusaka. Kepelbagaian institusi pengurusan harta pusaka telah menyebabkan kekeliruan di kalangan waris yang akan menyebabkan pengurusan harta pusaka tidak dapat dilaksanakan secara efektif. Perkara ini sekiranya dibiarkan berlarutan akan merencatkan proses tuntutan harta pusaka dan akan menyebabkan harta simati terus terbeku. Disamping itu kadar fi atau yuran bagi pengurusan harta pusaka adalah berbeza mengikut institusi yang berbidangkuasa  untuk mentadbir harta pusaka tersebut. Dalam keadaan tertentu, fi yang dikenakan tidak seimbang dengan nilai harta pusaka yang ditinggalkan oleh simati. Kadar fi yang tinggi juga menjadi kekangan untuk waris-waris menanggungnya sebelum pembahagian harta pusaka dapat diselesaikan.

Kesan Harta Beku

Salah satu rasional kepada objektif syariah (Maqasid Syariah) dalam pemeliharaan harta umat Islam ialah wujudnya unsur “Al-Rawaj” iaitu peredaran harta secara adil di tangan seramai mungkin manusia. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT didalam Surah A-Hasyr : 7 yang bermaksud :-

Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya(Muhammad) daripada harta penduduk negeri ; bandar atau desa dengan tidak berperang , maka adalah ia tertentu bagi Allah; dan bagi Rasulullah; dan bagi kaum kerabat (Rasulullah); dan anak-anak yatim ; dan orang-orang miskin ; serta orang-orang musafir  (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar antara orang-orang kaya dalam kalangan kamu.”

Kelewatan untuk menyelesaikan pembahagian harta pusaka akan menyebabkan berlaku kehilangan potensi ekonomi keatas harta tersebut. Akibat masalah-masalah yang dinyatakan diatas dan harta tersebut tidak dapat disempurnakan pemilikan kepada waris-waris, mungkin ada potensi ekonomi yang terpaksa dilepaskan kerana peluang untuk menggunakan atau memanafaatkan harta tadi tidak ada padanya. Bahkan sekiranya berlaku pengambilan tanah oleh kerajaan keatas tanah pusaka tersebut, wang pampasan tidak dapat disalurkan kepada yang berhak kerana harta tadi masih terbeku. Kerugian berganda kepada pewaris kelak apabila berlaku kematian berlapis , pertambahan pemilik boleh menyebabkan bahagian yang bakal diwarisi semakin mengecil. Inilah yang terjadi kepada pewaris-pewaris tanah pusaka di Kampung Baru!

Harta pusaka yang tertangguh penyelesaiannya akan memberikan kesan kepada waris terutamanya kebajikan anak-anak yang berstatus anak yatim dan juga balu yang tidak bekerja sedangkan setelah kematian ketua keluarga, mereka ini memerlukan sokongan kewangan bagi menampung keperluan asasi harian. Sebab itu sekiranya harta simati tidak dapat diselesaikan pembahagian atas kekangan masalah yang dinyatakan diatas , ianya merupakan satu bentuk ketidakadilan kepada pewaris. Harta beku berlawanan dengan tujuan hukum faraid itu sendiri yang bertunjangkan kepada konsep peredaran harta dan keadilan dalam agihan  kekayaan laksana falsafah pensyariatan hukum zakat.

Pembekuan harta dan kelewatan waris dalam mencairkan harta pusaka juga boleh menyebabkan tanggungjawab simati yang belum dilunaskan seperti hutang tidak dapat disempurnakan. Maka ianya sesuatu yang amat menyedihkan apabila roh simati akan tergantung disebabkan hutangnya sehinggalah hutang itu dilangsaikan oleh warisnya. (Mahfum Hadith riwayat At-Tirmizi). Hal yang sama juga jika si mati yang masih lagi mempunyai hutang zakat yang perlu ditunaikan atau ada hasrat simati untuk mewaqafkan atau memperuntukkan sebahagian hartanya untuk sedeqah. Kesemuanya akan tertangguh sehinggalah harta simati tadi dicairkan dan diuruskan pembahagian kepada waris-waris.

Ambillah iktibar daripada permasalahan yang berlaku akibat harta beku ini. Semua pihak yang terlibat samada pemilik harta (semasa hidupnya), pewaris dan juga agensi yang menguruskan harta pusaka umat islam perlu mengambil langkah bersepadu dan proaktif bagi memastikan masalah harta beku di kalangan umat Islam khususnya tidak menjadi berlarutan. Ilmu perancangan pewarisan harta perlu diperluaskan agar masyarakat sedar akan kepentingannya.

~Cakna Pusaka Waris Terjaga~

Comments

Popular posts from this blog

SOLUSI PENGURUSAN HARTA PUSAKA ANDA

The effect of Section 281 of Islamic Financial Services Act 2013.