Ilmu Pengurusan Harta Pusaka
Ilmu pengurusan harta pusaka semakin menarik perhatian masyarakat masakini. Kesedaran masyarakat terhadap pentingnya pengurusan harta sebenarnya berkait dengan pengurusan kewangan setiap individu. Secara amnya, permulaan perancangan kewangan bermula apabila individu itu melangkah ke alam pekerjaan. Dengan pendapatan yang diperolehi samada daripada makan gaji ataupun bisnes, maka seseorang itu akan mula mengumpul harta untuk meneruskan kitaran kelangsungan hidup. Bermula daripada hidup bujang hingga berkeluarga. Bermula dari bermotosikal hingga berkereta. Bermula dari menyewa hingga membeli rumah sendiri. Setiap fasa kehidupan itu perlu dilalui dengan perancangan yang rapi dari segi pengurusan kewangan kerana apabila bermulanya pemilikan harta oleh individu maka harta tersebut akan diwarisi kelak. Setiap pewaris adalah berhak terhadap bahagian harta masing-masing berdasarkan hukum faraid.
Namun masih berlaku keadaan dimana harta pusaka tidak dapat diagihkan kepada waris-waris kerana sebab-sebab tertentu. Natijah daripada keadaan ini, harta simati menjadi harta beku kerana tidak dapat diagihkan sewajarnya kepada pewaris selagi segala halangan dan masalah yang terbelenggu tidak diselesaikan. Setakat laporan tahun 2016, dianggarkan sehingga RM60.0 Bilion harta beku yang tidak dapat diagihkan kepada pewaris. Sebab musabab kenapa harta terbeku tersebut akan dihuraikan pada topik-topik yang akan datang.
Islam menitik beratkan perancangan harta pusaka dan dengan sebab itu turunnya ayat mawarith (An-Nisa : 10-14) yang memperincikan secara khusus mengenai hukum faraid. Ilmu faraid adalah satu formula penyelesaian kepada pembahagian harta pusaka yang telah digariskan oleh Al-Quran namun tidak bermakna kita tidak boleh merancang pewarisan harta berdasarkan instrumen-instrumen lain. Hukum faraid sebenarnya menjadi asas kepada pembahagian harta pusaka. Perancangan pewarisan harta semasa hidup sebenarnya melengkapi proses pengurusan harta pusaka agar ianya dapat dilakukan dengan lebih sempurna berdasarkan situasi, keperluan serta kehendak pemilik harta.
Ilmu pengurusan harta pusaka ini perlu diperluaskan agar masyarakat dapat lebih memahami betapa penting pengurusan harta semasa hidup agar ianya dapat memudahkan pengagihan harta kepada pewaris. Perpecahan, pergaduhan dan perebutan harta sebenarnya berpunca daripada kegagalan untuk merancang daripada awal. Lantas kecetekan ilmu dikalangan pewaris harta menambahkan lagi kerumitan masalah ini.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:-
i“Pelajarilah al-Quran serta ajarkan ia kepada orang lain dan pelajarilah ilmu faraid serta ajarkan ia kepada orang lain. Kerana sesungguhnya aku ini akan dicabut nyawa (mati) dan ilmu tersebut juga akan dicabut oleh Allah SWT. Lalu akan timbullah fitnah harta (huru-hara) sehingga nanti akan ada dalam kalangan dua orang yang berselisih tentang pembahagian harta pusaka dan mereka sendiri tidak tahu siapakah yang akan dapat menyelesaikan masalah mereka.”(Hadith riwayat al-Hakim dan al-Baihaq)
Ayuh kita kongsi ilmu diblog ini. Tambah ilmu agar celik minda untuk cakna ehwal pusaka.
~Cakna Pusaka Waris Terjaga~
Comments