KEDUDUKAN WANG CARUMAN KWSP DALAM PROSES PENTADBIRAN HARTA PUSAKA

 


Wang caruman ahli dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah merupakan harta penama yang berada dalam kategori harta alih yang kerap menjadi isu berbangkit dalam proses pentadbiran harta pusaka. Kenapa ianya dirujuk sebagai harta penama ialah kerana pemilik boleh menamakan seseorang individu lain sebagai penama bagi tujuan untuk mengeluarkan wang caruman tersebut selepas kematiannya. Lazimnya penama adalah dikalangan waris seperti isteri/suami, adik beradik atau ibu bapa. Apa yang dirujuk sebagai penamaan ialah suatu proses apabila seseorang telah menamakan orang-orang tertentu untuk memprolehi faedah daripada harta alih seperti manafaat polisi takaful, caruman didalam KWSP, pemilikan dalam saham koperasi dan simpanan wang didalam Tabung Haji.

Bagi maksud artikel ini, fokus adalah kepada proses penamaan dan status penamaan bagi caruman KWSP dan isu-isu berkaitan dalam konteks pentadbiran harta pusaka. Bagi pencarum yang beragama Islam wang caruman tersebut adalah merupakan sebahagian daripada harta pusaka simati dan tertakluk kepada pembahagian mengikut hukum faraid. Penamaan hanya akan memudahkan dan mempercepatkan proses bayaran wang caruman itu kepada penama dan penama hanyalah bertindak sebagai Wasi -bukan sebagai benefisiari atau penerima hak mutlak kepada wang caruman tersebut. Maka adalah menjadi tanggungjawab penama tadi untuk memahami bahawa wang caruman yang dikeluarkan itu adalah manah untuk waris-waris faraid simati dan penama bertanggungjawab untuk membahagi-bahagikan hak waris sebagaimana pembahagian faraid. 

Tangggungjawab penama ini telah disepakati oleh fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 9 Oktober 1973 dan 19 September 2000.

SIAPA YANG BOLEH MEMBUAT PENAMAAN?

Ahli KWSP yang terdiri daripada Warganegara atau Bukan Warganegara seperti berikut :-

  • Ahli KWSP yang berumur 18 tahun keatas;
  • Warganegara Malaysia ATAU Penduduk Tetap (PR) / Bukan Warganegara (Menjadi ahli KWSP sebelum 1 Ogos 1998).

Penamaan boleh dibuat oleh ahli KWSP dengan mengisi Borang KWSP4 dan mengemukakan borang yang telah siap diisi kemana-mana cawangan KWSP diseluruh negara. Untuk melengkapkan permohonan penamaan, dokumen-dokumen tersebut perlu dilampirkan bersama :-

1. Borang KWSP4;

2. Salinan KP/Mykad/Kad Pengenalan Tentera;

3. Salinan Pasport yang sahlaku * (bagi bukan warganegara);

4. Salinan dokumen pengenalan diri penama.

Penamaan boleh dibuat oleh ahli KWSP dengan melengkapkan kesemua borang yang telah siap diisi berserta lampiran kemana-mana cawangan KWSP diseluruh negara.

SIAPAKAH YANG LAYAK MENJADI PENAMA?

KWSP membenarkan mana-mana individu untuk menjadi penama dan juga membenarkan satu syarikat Amanah iaitu Amanah Raya Berhad (ARB). Penamaan ARB sebagai penama bermakna ARB akan menjadi pentadbir kepada SEMUA (100%) bahagian simpanan ahli. Bagi penama individu, ahli boleh menamakan lebih daripada seorang penama dengan peratusan bahagian tertentu. Contoh :-

Ali menamakan dua penama iaitu :-

1. Ahmad – 70%

2. Abu      -30 %

Apabila berlaku kematian, pembayaran jumlah wang caruman adalah mengikut peratusan tersebut. Sekiranya salah seorang penama meninggal dunia, penamaan penama yang meninggal tersebut akan terbatal. 

Berkuatkuasa selepas 1 Januari 2007, bagi penama yang berumur 18 tahun keatas, permohonan pengeluaran kematian perlu dikemukakan dalam tempoh 1 tahun dari tarikh kematian ahli dan jika tiada permohonan dibuat dalam tempoh tersebut penamaan akan terbatal dan waris boleh mengemukakan permohonan mengikut prosedur pengeluaran wang caruman secara tanpa penamaan. KWSP juga membenarkan pembatalan penamaan atau sekiranya ahli ingin melantik penama baru dengan mengemukakan Borang KWSP4A.

ISU-ISU BERKAITAN WANG CARUMAN KWSP SEBAGAI HARTA PENAMA

  1. Caruman Ahli Mualaf/Saudara baru.

Mengikut hukum syarak, orang bukan islam tidak berhak mewarisi harta orang islam kerana perbezaan agama menjadi penghalang daripada berlakunya pewarisan antara dua orang yang bersaudara walaupun mempunyai hubungan darah. Ini bersandarkan dua dalil hadith riwayat Usamah Bin Zaid dan hadith riwayat Abu Dawud.

Wujud keadaan dimana seseorang ahli KWSP yang sebelum memeluk Islam telah menamakan warisnya seorang penama yang bukan Islam. Disini berlaku konflik perundangan kerana Akta KWSP 1991 dan Peraturannya tidak tertakluk kepada undang-undang Islam. Perbezaan agama tidak menghalang KWSP untuk membuat pembayaran kepada penama bukan Islam. Walaubagaimanapun, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia ke-61 pada 27 Januari 2004 telah memutuskan antara lainnya :

 “Muzakarah telah memutuskan bahawa mengikut hukum syarak, orang bukan Islam tidak berhak mewarisi harta orang Islam dan begitulah sebaliknya. Jika seseorang bukan Islam memeluk Islam dan mempunyai simpanan KWSP dan telah menamakan penama orang bukan Islam maka hendaklah menukar penama tersebut kepada orang Islam. Jika tiada penama orang Islam dan tiada waris Islam yang berhak keatas harta tersebut setelah beliau meninggal dunia maka harta itu tidak menjadi hak kepada penama yang bukan Islam, sebaliknya hendaklah diserahkan kepada Baitulmal; dan orang Islam boleh membuat wasiat kepada orang bukan Islam tidak melebihi 1/3 daripada hartanya”

2. Tuntutan Harta Sepencarian terhadap KWSP.

Terdapat satu keputusan Mahkamah Tinggi Shariah Terengganu dalam kes Che Mas Binti Abdullah –Lwn- Mat Sharie Bin Yaakub (2003) dimana Y.A Hakim telah memutuskan bahawa sebahagian daripada wang simpanan KWSP merupakan harta sepencarian, iaitu bahagian yang dipotong daripada gaji simati selain sumbangan majikan dan dividen. Alasannya, bahagian tersebut pasti akan diperuntukkan untuk kegunaan rumahtangga sekiranya tidak disimpan dalam tabung KWSP sepanjang perkongsian hidup pasangan tersebut.

Walaubagaimanapun keputusan satu Mahkamah Syariah adalah tidak mengikat Mahkamah Syariah yang lain untuk mengikutinya kerana tidak seperti Mahkamah Sivil yang mengikut prinsip “Binding Precedent”. Jika ada pertikaian sesama waris mengenai status simpanan KWSP, maka Hakim Mahkamah Syariah boleh memutuskannya berdasarkan ijtihadnya selagi isu ini tidak diperuntukkan secara undang-undang bertulis.

KESIMPULAN

Secara asasnya, wang caruman KWSP adalah merupakan harta pusaka kerana ianya dimiliki oleh ahli semasa hidupnya. Maka waris berhak mendapat bahagian faraid selepas kematian ahli. Penama dalam KWSP hanya bertindak sebagai wasi yang bertanggungjawab untuk mengeluarkan simpanan tersebut dan mengagihkannya kepada waris-waris simati yang berhak.

Rujukan :

  1. Akmal Hidayah Halim, Penentuan Harta Pusaka Di Malaysia ; Kajian Dari Perspektif Undang-Undang Sivil Dan Syariah, 26 KANUN (2) (2014)
  2. Dr Jasni, Hak Saudara Baru Terhadap Harta Pusaka : Analisis Undang-Undang Semasa, Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari (2014);
  3. Ahmad Termizi, Soal Jawab Pusaka, (2019);
  4. https://www.kwsp.gov.my/ms/member/nomination
  5. http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan

Comments

Popular posts from this blog

SOLUSI PENGURUSAN HARTA PUSAKA ANDA

The effect of Section 281 of Islamic Financial Services Act 2013.

KENAPA HARTA UMAT ISLAM BOLEH MENJADI BEKU?