Ujian Kekayaan
“Engkau nak mengawal orang yang berduit tak semudah nak menghalang orang yang tak ada duit…dia ada duit , dia boleh buat apa saja untuk hidup dia..”
Benar. Itulah gambaran kuasa harta dan kekayaan yang penjadi kayu pengukur untuk membezakan nilai diri seseorang dari kacamata pandangan duniawi. Kekalutan manusia akhir zaman ini adalah berpunca daripada kesibukan mereka untuk mengejar kekayaan dan kemewahan. Sebab kekayaan itu yang membezakan darjat dan kemuliaan dalam masyarakat. Harta, pangkat dan kekayaan menjadi rebutan. Siapa kaya, siapa berharta maka dia ibarat gula yang dikerumuni semut. Benar sekali sabda Rasulullah S.A.W dalam satu hadith yang bermaksud “Sesungguhnya bagi setiap umat itu mempunyai ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan.” – (Hadis riwayat at-Tirmizi).“
Adalah malang sekali apabila objektif hidup kita terbabas daripada landasan wahyu ilahi sehingga kita terlupa bahawa setiap daripada kita sentiasa diuji oleh Allah samada ujian kemiskinan mahupun ujian kemewahan. Bagaimanakah harta kekayaan itu dianggap sebagai ujian? Apabila mereka merasakan bahawa segala kemewahan yang dikecapi adalah hasil titik peluh mereka berkerja siang dan malam maka mereka merasakan bahawa itulah sebabnya mereka berjaya dan kaya. Mereka lupa untuk bersyukur bahawa sebenarnya rezeki kekayaan yang dikecapi itu hanyalah ihsan daripada Allah yang Maha Pemberi. Lantas berapa ramai yang berharta tidak merasa ketenangan, hidup didalam kegelisahan dan tiada rahmat dalam keluarga kerana lumrahnya mereka semakin alpa dengan nikmat kekayaan dunia. Firman Allah :
”Ketahuilah ! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, bila dia melihat dirinya sudah kaya dan serba cukup.” [Al-‘Alaq : 6-7].
Kenapa masih wujud kegelisahan walaupun memiliki kekayaan harta yang banyak? Sebabnya ramai antara kita tidak dapat bezakan antara kegembiraan , kebahagian dan ketenangan jiwa. Ramai yang tidak merasa bahagia walaupun mereka gembira. Kegembiraan kerana mempunyai harta yang banyak kadang-kadang belum cukup untuk membuatkan mereka bahagia dan dan merasai ketenangan jiwa. Itulah nikmat rahmat Allah. Harta yang banyak belum mampu menjamin sebuah keluarga yang bahagia. Berapa ramai anak-anak daripada keluarga yang mewah akhirnya tenggelam dalam nafsu kemewahan sehingga terjebak dalam noda dan dosa. Berapa ramai rumahtangga yang pincang akibat ujian kemewahan sehingga suami dan isteri lupa matlamat berumahtangga dan akhirnya masing-masing mencari kepuasan diri kerana sudah hilang mawaddah dan rahmah dalam kehidupan berumahtangga. Berapa ramai golongan kaya yang sentiasa mendabik dada melakukan kebajikan dan kebaikan tanpa menyedari bahawa syaitan sentiasa ligat meniupkan perasaan riak dan takabur dalam hati mereka. Inilah ujian-ujian kekayaan yang dihadapi oleh umat akhir zaman sebagaimana mafhum hadith Nabi S.A.W diatas.
Beruntunglah bagi mereka yang diuji oleh Allah dengan kekayaan harta dunia dan masih teguh bersyukur dengan rahmatNya. Mereka sentiasa sedar bahawa harta tersebut adalah pinjaman semata-mata yang perlu diuruskan agar ianya dapat dimanafaat kepada mereka yang berhak. Konsep pemilikan harta dalam islam adalah untuk menjamin kesejahteraan umat islam secara keseluruhan. Sebab itu Zakat diwajibkan keatas golongan berharta untuk disalurkan kepada golongan asnaf yang berhak sebagai satu bentuk penyucian pendapatan. Wakaf disunatkan bagi yang berharta untuk dimanafaatkan sebahagian harta mereka untuk kebajikan umat Islam. Wasiat amat digalakkan sebagai amal jariah agar sebahagian harta pemilik itu dapat dimanafaatkan kepada golongan yang memerlukan. Sedeqah adalah amalan yang sangat mulia sehinggakan ianya adalah punca kepada kemurahan rezeki orang-orang-orang yang bersedeqah.
Sesungguhnya kekayaan yang diberikan oleh Allah S.W.T itu sebenarnya adalah peluang untuk hamba-hambaNya meningkatkan iman dan taqwa , mengucapkan rasa syukur bahawa ianya adalah amanah untuk diwariskan kepada mereka yang berhak dikalangan waris dan juga menjadi punca pahala untuk dimanafaatkan kepada umat islam.
Comments