Ar-Rahnu Dalam Kerangka Perundangan Malaysia
Salah satu produk kewangan Islam yang semakin berkembang pada masa kini ialah produk Ar-Rahnu iaitu satu kontrak pembiayaan jangka pendek, cepat, mudah dan bebas daripada unsur riba. Struktur produk Ar-Rahnu beroperasi dengan cara gadaian barang kemas oleh penggadai kepada institusi Ar-Rahnu sama ada bank-bank ataupun kedai pajak gadai berlesen sebagai cagaran kepada pinjaman.
Sepintas lalu perkembangan Ar-Rahnu di Malaysia bermula pada tahun 1992 apabila Muassasah Gadaian Islam Terengganu (MGIT) ditubuhkan. Idea penubuhan MGIT ini bermula dengan cadangan yang dikemukakan oleh MAIDAM bertujuan untuk menyediakan modal tunai secara cepat yang patuh syariah kepada orang Islam di Terengganu. Langkah ini telah menjadi pencetus dan membuka kepada banyak lagi pembukaan operasi Ar-Rahnu oleh institusi seperti Permodalan Kelantan Berhad dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad yang menjadi bank koperasi pertama yang memperkenalkan produk Ar-Rahnu. Perkembangan ini dirintis seterusnya oleh institusi bukan bank seperti YAPEIM, Pos Malaysia yang memperkenalkan produk Ar-Rahnu sebagaimana bank-bank komersil seperti Bank Islam dan Agro Bank.
Pendaftaran institusi yang menjalankan aktiviti Ar-Rahnu di Malaysia adalah bergantung kepada jenis penubuhan institusi terbabit. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mensyaratkan pendaftaran kedai pajak gadai selaras dengan Akta Pemegang Pajak Gadai 1972, manakala institusi kewangan dibawah sektor koperasi perlu mendaftar dibawah kelulusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Aktiviti perniagaan Ar-Rahnu tidak dikategorikan dalam maksud "Islamic Deposit" sebagaimana takrifan dalam Akta Kewangan Islam 2013. Jadual 2, Bahagian 2 (g) (OTHER EXCLUSION FROM DEFINITION OF ISLAMIC DEPOSIT) menyenaraikan sebarang pembayaran dan penerimaan wang yang dilakukan dibawah Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 adalah terkecuali daripada skop IFSA 2013.
Secara amnya terdapat tiga undang-undang yang relevan bagi aktiviti pajak gadai dalam kerangka perundangan di Malaysia :-
1. Akta Pemegang Pajak Gadai 1972
Setiap kedai pajak gadai di Malaysia perlu mendapatkan lesen dan berdaftar dengan KPKT dan ianya merupakan satu-satunya akta yang mengawalselia hal ehwal pendaftaran dan perlesenan aktiviti pajak gadai termasuk kedai pajak yang menggunakan skim A-Rahnu. Walaubagaimanapun, disebabkan wujudnya peruntukan yang bertentangan dengan prinsip syariah seperti caj keuntungan/interest yang dibenarkan dalam akta tidak menepati konsep Ar-Rahnu yang bersandarkan prinsip Qard dan Ujrah (upah simpan), maka akta ini dilihat terpakai kepada aktiviti pajak gadai konvensional sahaja. Namun ketiadaan statut khusus bagi produk Ar-Rahnu , hal ehwal pendaftaran dan perlesenan bagi kedai pajak islam yang bukan dibawah sektor koperasi masih tertakluk dibawah Akta ini.
2. Garis Panduan Aktiviti Ar-Rahnu
Garis Panduan GP25: GARIS PANDUAN AKTIVITI PAJAK GADAI ISLAM (AR-RAHNU) yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia berkuatkuasa 14 Februari 2013 adalah merupakan panduan khusus yang mengawalselia aktiviti Ar-Rahnu yang dijalankan oleh entiti koperasi di Malaysia. Secara amnya garis panduan ini tidaklah secara komprehensif memperincikan skop perundangan Ar-Rahnu sebagaimana aktiviti pajak gadai dibawah Akta Pemegang Pajak Gadai 1972, namun ianya adalah garis panduan umum mengenai operasi Ar-Rahnu oleh SKM sebagai pengawalselia kepada koperasi-koperasi yang menjalankan aktiviti Ar-Rahnu.
3. Tatacara Skim Pengurusan Ar-Rahnu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu.
Tatacara ini hanya terpakai kepada aktiviti Ar-Rahnu yang dijalankan oleh MAIDAM yang memperincikan tentang pengurusan Ar-Rahnu , prosedur detail amalan Ar-Rahnu seperti format borang gadaian , tempoh lanjut tempoh gadaian dan sebagainya.
Bagi sesetengah koperasi yang menjalankan aktiviti Ar-Rahnu secara francais , mereka tertakluk kepada terma dan syarat yang terkandung dalam perjanjian francais sebagai contoh Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad telah membuka francais Ar-Rahnu XChange bagi mana-mana koperasi yang berhasrat untuk menjalan aktiviti perniagaan Ar-Rahnu secara francais dengan Rakyat Management Services yang ditubuhkan oleh BKRM untuk memperkembangkan lagi produk A-Rahnu ini. Sebagai strategi serampang dua mata, BKRM juga menawarkan modal pusingan bagi koperasi yang menjalankan aktiviti Ar-Rahnu Xchange ini.
Melihat kepada perkembangan produk Ar-Rahnu yang semakin mendapat permintaan pasaran terutama bagi peniaga-peniaga kecil dikalangan orang Islam yang memerlukan modal tunai yang cepat untuk jangkamasa pendek melalui satu skim pembiayaan yang patuh syariah, satu undang-undang khusus perlu digubal untuk menjaga hak dan kepentingan pemegang pajak dan pemajak gadai Ar-Rahnu. Isu -isu yang seringkali berlaku dalam perniagaan pajak gadai seperti penggadaian emas palsu dan emas curi memerlukan kepada satu akta yang mengawalselia aktiviti perniagaan Ar-Rahnu. Perkara ini telah ditangani dalam Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 dimana terdapat peruntukan berkenaan tanggungjawab pemegang gadai untuk membuat siasatan dan laporan polis sekiranya disyaki berlaku kecurangan atau harta curi yang digadaikan. Namun bagi produk Ar-Rahnu, kontrak gadaian hanya berdasarkan Terma-terma dan Syarat Gadaian yang dilampirkan bersama Surat Akuan Gadaian. Terma-terma tersebut juga adalah dokumen dalaman dan tiada keseragaman diantara institusi-intitusi bank dan bukan bank yang menjalankan aktiviti Ar-Rahnu. Sekiranya berlaku pertikaian melibatkan produk Ar-Rahnu ini dibawa ke mahkamah, isu yang mungkin akan timbul berkenaan ketiadaan akta yang mengawalselia produk Ar-Rahnu ini.
Secara alternatifnya penulis berpandangan, pindaan kepada Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 atau penggubalan satu akta baru boleh dilakukan untuk mengharmonikan aktiviti pajak gadai dibawah satu akta yang terpakai untuk kedua-dua pajak gadai konvensional dan pajak gadai Islam.
Comments