RANCANG HARTA DENGAN ILMU
Isu harta beku bukanlah satu isu baru sebaliknya ia telah acapkali dibangkitkan oleh pihak berwajib sehinggakan mendapat perhatian khusus pihak Kerajaan apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Aziz seawal sekitar tahun 2007 telah menyebut laporan mengenai nilai harta pusaka yang tidak dituntut telah mencecah RM40.0 bilion. Itu cerita pada tahun 2007. Wan Abdul Halim Wan Harun dalam buku terkininya (cetakan 2018) “Mengurus Harta Pusaka : Pusaka Pemangkin Kesejahteraan Keluarga” menunjukkan statistik lebih 1 juta hakmilik hartanah masih lagi berdaftar atas nama si mati! Keadaan ini bertambah rumit disebabkan daripada statistik yang dibuat hanya 24% waris-waris menyelesaikan harta pusaka pada tahun kematian.
Kelewatan menyelesaikan harta pusaka menyebabkan masalah yang semakin rumit apabila berlaku pula kematian waris-waris serta masalah dan kekangan yang lain sedangkan harta simati masih belum diselesaikan pembahagiannya. Maka ini seterusnya menyumbang kepada keadaan harta beku. Harta beku ialah harta peninggalan si mati yang tidak diambil tindakan oleh waris-waris simati untuk dibahagikan mengikut hukum faraid. Harta itu dianggap beku kerana ianya tidak boleh dilakukan sebarang transaksi seperti jual beli, gadaian, pajakan dan sebagainya.
Kepentingan merancang pewarisan harta sebenarnya bermula dengan ilmu kefahaman tentang pewarisan harta itu sendiri kerana ianya adalah asas sebelum merancang. Hukum faraid telah ditetapkan didalam Al-Quran dan ianya dilaksanakan sebagai panduan hukum apabila seseorang itu meninggal dunia dan meninggalkan harta kepada waris. Namun, semasa hidup, seseorang patut dan perlu merancang pewarisan harta kerana setiap individu tidak sama struktur faraidnya, susur galur warisnya. Sebab itu Islam mempunyai alternatif apabila melibatkan perkara seperti hak anak angkat, dan hasrat pemilik harta untuk melakukan kebajikan daripada hartanya. Terdapat instrumen-instrumen lain yang boleh diguna pakai seperti hibah , wasiat dan wakaf.
Lazimnya pemilik harta merasa bimbang sekiranya harta peninggalan mereka tidak diwarisi sebaik mungkin. Mereka juga gusar samada waris-waris yang berhak terpaksa menanggung bebanan untuk menguruskan harta-harta pusaka sedangkan mereka tidak mempunyai pengetahuan oleh kerana usia yang masih muda dan sebagainya. Disinilah pentingnya pemilik harta mempunyai pengetahuan untuk membuat perancangan harta mereka. Pengetahuan ilmu faraid memudahkan pemilik harta untuk mengetahui siapa dalam kalangan waris mereka yang berhak mewarisi harta pusakanya. Sekurang-kurangnya tiga maklumat asas yang perlu diketahui oleh pemilik harta :-
1. Mempunyai pengetahuan tentang pewaris harta
2. Mempunyai pengetahuan terhadap bahagian harta
3. Mempunyai pengetahuan tentang harta terlibat.
Contoh dibawah adalah situasi yang memerlukan pengetahuan tentang ilmu faraid :-
Datuk Harun adalah seorang usahawan berjaya dan mempunyai jumlah harta yang banyak untuk diwarisi. Isteri Datuk Harun telah lama meninggal dunia dan beliau hanya mempunyai seorang cucu lelaki yang tinggal bersama iaitu anak kepada anak perempuan tunggalnya yang juga telah meninggal dunia pada usia yang masih muda akibat penyakit kanser. Datuk Harun tidak mempunyai waris lain kecuali seorang adik lelaki kandung beliau. Datuk Harun amat menyayangi cucu tunggalnya itu dan berhasrat untuk mewariskan keseluruhan hartanya kepada cucu beliau. Adakah hasrat Datuk harun itu boleh terlaksana sekiranya beliau meninggal dunia dan tidak membuat apa-apa perancangan semasa dia hidup?. Jawapannya tidak.
Berdasarkan kaedah ilmu faraid, cucu lelaki daripada anak perempuan yang mati dahulu tidak berhak untuk mewarisi pusaka datuk kerana cucu tersebut tergolong dalam waris Zawil Arham.
Disinilah pentingnya ilmu pewarisan harta pusaka untuk dipelajari dan difahami. Dengan pemahaman mengenai waris-waris yang berhak, pemilik harta dapat merancang sewajarnya harta agarnya ianya dapat diagihkan kepada orang tersayang sebagaimana hasrat Datuk Harun diatas. Dalam hal ini instrumen perancangan seperti wasiat 1/3 dan hibah boleh diaplikasikan sebagai solusi kepada keadaan diatas. Kenali struktur faraid masing-masing agar perancangan pewarisan harta dapat dilakukan dengan sempurna seiring dengan hasrat dan keinginan pemilik harta.
~Cakna Pusaka Waris Terjaga~
Comments